Berita

ADUN DAP Kampung Tunku saran Kerajaan Selangor tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas Pemantauan Belanjawan Negeri

SHAH ALAM, 21 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San menyarankan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Pemantauan Belanjawan agar dapat memantau aspek pentadbiran yang berkaitan dengan belanjawan negeri.

Beliau berkata, sebab utama cadangan itu diutarakan berikutan kepincangan beberapa jabatan kerajaan untuk mengoptimumkan peruntukan tahunan 2013.

Menurutnya, walaupun hampir memasuki bulan terakhir 2013 tetapi kegunaan peruntukan tahun dalam beberapa kepala belanjawan masih belum melebihi 80 peratus.

“Hakikatnya pegawai akan melakukan apa yang digelar ‘Christmas Shopping’. Jika tidak, peruntukan jabatan ini pada 2014 akan dikurangkan dan akhirnya rakyat terpaksa menerima padahnya.

“Bagi mengelak ia berulang setiap tahun, Jawatankuasa Pilihan Khas Pemantauan Belanjawan Kerajaan Negeri perlu ditubuhkan dalam masa terdekat.

“Saya juga mencadangkan agar jawatankuasa sama turut ditubuhkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika membahaskan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor, semalam.

Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor turut menegaskan, walaupun menyambut baik cadangan eksekutif untuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bebas seperti yang dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Namun, katanya, pihak eksekutif tidak harus lupa semua peruntukan Kerajaan Selangor mesti mendapat kelulusan Dewan Negeri.

“Jadi amat penting kerja pemantauan dilakukan golongan profesional yang bakal menganggotai Jawatankuasa Bertindak Bebas, malah Dewan Negeri perlu diletak pada kedudukan yang betul untuk memantau operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” ujarnya. -Roketkini.com