Budaya

Bahaya membaca buku – Muhammad Nazreen

“If literature has engaged me in a project, first as a reader, then as a writer, it is an extension of my sympathies to other selves, other domains, other dreams, other worlds, other territories” -Susan Sontag, Regarding The Pain of Others

Ada sebab kenapa saya sendiri resah apabila membaca buku. Memang benar, seperti kebanyakan individu yang lain percaya bahawa buku adalah latihan pendidikan yang berkesan.

Pendidikan pula merupakan satu-satunya jalan untuk kita keluar daripada pembodohan.

Namun, di sebalik itu – membaca buku boleh jadi sebaliknya. Paling meresahkan, kita merasa diri semakin ‘poyo’ dan berlagak. Lama kelamaan – kita sendiri tersisih daripada realiti masyarakat dan perlahan-lahan terbuang di suatu sudut yang terpencil.

Membaca buku bukanlah kerja semberono. Ia memerlukan latihan kerja ‘otak’ yang serius dan berterusan. Bukan semua orang mampu bertahan. Ada yang tewas seawalnya, di tengah-nya dan jarang sekali yang dapat bertahan untuk menghabiskan bahan bacaan tersebut.

Kenapa saya katakan membaca buku boleh menjadi bahaya?

Edward Said, tokoh intelektual terpenting abad ke 21 telah menegur kita tentang bahaya membaca. Bagi Said, pembacaan yang literal akan menyebabkan manusia terperangkap dengan khayalan si penulis. Pada suatu ketika, si pembaca sendiri gagal untuk berfikir secara sedar dan matang. Lantas, mereka terperangkap dengan hegemoni sang penulis.

Ketika Said menyiapkan buku-nya, Beginnings: Intention and Method (1985) – dia menawarkan pembaca akan perlunya pembacaan dan kritikan. Di dalam buku tersebut, Said menggali percubaan untuk menyelidik dan menyemak idea yang lahir dari tradisi intelektual barat daripada Friedriech Niestzche sehingga Michel Foucault. Kemudian, dia menawarkan perbahasan literari tentang bagaimana sebuah teori itu terbangun dan sehinggalah dimusnahkan. Semuanya bermula dengan kuasa membaca – tetapi bacalah dengan kritis!

Hal ini sangat bahaya. Membaca juga boleh menjadikan kita tumpul untuk mengerjakan idea sendiri. Akhirnya, kita terperangkap dengan buku-buku yang dibaca – dan gagal untuk berdepan dengan realiti yang nyata berbeza dengan imaginasi penulis.

Buku dan pengukuhan ideologi

Membaca memerlukan teknik yang berkesan. Kita tak seharusnya membaca untuk sekadar membaca. Ada juga yang berpendapat bahawa membaca buku juga tidak seharusnya dari kulit ke kulit, atau dari muka surat ke muka surat.

Kalau tidak, buku turut dijadikan alat untuk mengukuhkan penindasan. Misalnya, Adolf Hitler – ketika membangunkan gagasan Nazisme. Dia menulis Mein Kampf untuk memberi keabsahan terhadap kegilaan anti-yahudi dan mitos Bangsa Aryan beliau. Kita juga boleh merenung bagaimana Lin Biao, jeneral tentera yang paling berpengaruh semasa pemerintahan Mao Zedong menyebarkan buku Little Red Book – kompilasi ucapan dan kata-kata hikmat Chairman Mao sebagai bahan bacaan wajib rakyat Cina menjelang Revolusi Kebudayaan 1968  yang bertujuan untuk menghapuskan budaya lama dan menggantikan budaya baru berdasarkan doktrin Marxisme-Leninisme sesuai dengan perjuangan masyarakat marhaein di seluruh China. Akhirnya, dengan kuasa buku ‘Little Red Book’ – Mao dianggap sebagai manusia setengah dewa oleh rakyat China.

Malah, bagi gerakan Islam – bahan bacaan seperti Ma’alim Fi At-Thariq (Sayyid Qutb), Maza Ya’ni Fi Intimal al Islam (Fathi Yakan) dan Tafhim Al-Quran (Abu A’ala Al-Mawdudi) dijadikan bahan bacaan penting untuk mengukuhkan keyakinan gerakan islam dalam perjuangan siyasah Islam.

Contoh-contoh di atas menunjukkan bagaimana kekuatan penulis, buku dan pembaca yang jika tidak ditelaah dengan berhati-hati – boleh menjadi ancaman yang serius.

Pembacaan Kontekstual

Di sinilah pentingnya pembacaan secara kontekstual. Maksudnya, kita tidak harus terperangkap dengan kehendak penulis. Tetapi, kita (selaku pembaca) harus menelaah idea yang disampaikan oleh penulis dan pada masa yang sama, kekal untuk dalam mentafsirkan apa yang dibaca dengan kesedaran sendiri.

Namun, buku boleh dijadikan rujukan untuk kita menyemak semula pemikiran kita. Sebagai pembaca – adalah kebiasaan untuk kita bertukar-tukar haluan. Saya sendiri akui bahawa pembacaan menjerat diri untuk bertukar-tukar fahaman dan pegangan. Misalnya, saya pernah bercita-cita untuk menjadi Komunis setelah menghabiskan autobiografi, Karl Marx – tetapi, suatu hari, saya pula menjadi kagum dengan perjuangan kapitalisme apabila menelaah idea-idea Milton Friedman tentang pasaran bebas.

Itu bukanlah bermakna saya tidak tetap pendirian, tetapi membaca sentiasa meresahkan kita untuk menjadi apa yang kita baca. Barangkali, ini mungkin salah satu daripada bahaya membaca buku. Ini mengingatkan saya pada pesan David Foster Wallace – ‘You get to decide what to worship!’

Nasihat buat pembaca

Ben Okri, seorang penulis ‘post-modern’ berketurunan Afrika memberikan nasihat yang berguna bagaimana kita dapat membaca buku dengan baik. Nasihat ini dimuatkan di dalam koleksi esei-nya, A Time for New Dreams (2011) dimana nasihat ini diselitkan dalam satu bab yang berjudul “10 ½ Inclinations”. Ben menerangkan sepuluh dan setengah cara untuk membaca buku yang betul:

  1. Carilah petunjuk misteri di dalam setiap buku.

  2. Baca sesuatu yang luar dari kebiasaan masyarakat

  3. Baca buku yang dibenci orang ramai

  4. Baca juga buku yang memenangi anugerah kesusasteraan

  5. Cari seorang penulis yang menulis karya yang memberikan ‘sentuhan’ istimewa dalam diri anda

  6. Baca untuk berseronok

  7. Jangan sesekali baca buku yang dibaca oleh rakan anda

  8. Baca untuk berfikir dengan bebas

  9. Ikuti penulisan yang kontroversi dimana karyanya diharamkan – yang terbaru – Faisal Tehrani dan bukunya yang diharamkan

  10. Buku ibarat dunia di sebalik cermin – masuklah ke dalam dunia itu

Dan – bagi saya nasihat Ben Okri yang paling bermakna adalah pesan ke 10 ½ :

BACALAH DUNIA. DUNIA ADALAH BUKU YANG PALING LUAS, MISTERI DAN BERMAKNA. – Roketkini.com