Berita

Aduan dakwat kekal: Mejar Zaidi patut dinaikkan pangkat, bukan didakwa

KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad sepatutnya dinaikkan pangkat, bukannya didakwa di Mahkamah Tentera kerana membuat aduan berhubung dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana Mejar Zaidi bertindak secara patriotik dengan bersuara sebagai pengundi berhubung isu dakwat kekal pada PRU-13.

“Jika Pakatan Rakyat di Putrajaya, saya pasti akan mengusulkan agar beliau dinaikkan pangkat kerana menunjukkan semangat patriotik melangkau tugas biasanya.

“Mengapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak tidak munasabah…dengan cuba menghantar juruterbang tentera yang patriotik ke penjara bukan kerana jenayah, tetapi kerana bersikap jujur menyatakan kebenaran.

“Pada masa sama, ‘jerung besar’ yang benar-benar korup, mencuri berjuta harta rakyat menikmati kekebalan pula bebas daripada hukuman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta Najib dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Husein agar campur tangan bagi membolehkan tuduhan yang dijatuhkan kepada Mejar Zaidi digugurkan.

Mejar Zaidi digantung daripada membuat penerbangan dan dihadapkan ke Mahkamah Tentera 7 Februari lalu, kerana membuat aduan selepas dakwat kekal di tangannya hilang selepas dibasuh, beberapa jam selepas mengundi.

Beliau menghadapi tujuh pertuduhan, lima daripadanya mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 kerana tidak patuh kepada pegawai atasan dan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun.

Dua lagi tuduhan mengikut Seksyen 51 akta sama kerana tidak patuh kepada perintah tetap dan juga boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, atau hukuman ringan lain jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mengecam tuduhan yang dikenakan dan menyifatkan sebarang peraturan dan undang-undang institusi yang bertentangan dengan kesetiaan kepada Perlembagaan tidak boleh dikuatkuasakan, malah perlu dipinda.

“Ketika Mejar Zaidi membuat laporan polis, beliau bertindak sebagai pengundi dan warganegara, bukan sebagai juruterbang TUDM. Yang mana lebih penting – kesetiaan kepada Perlembagaan atau kepada undang-undang birokratik dalam tentera?” katanya.

Malah, katanya lagi, beliau akan membawa isu itu ke sidang Parlimen pada 10 Mac ini, jika Najib dan Hishammuddin tidak bersedia untuk campur tangan dan menggugurkan semua tuduhan yang dihadapi Mejar Zaidi itu.-Roketkini.com