Berita

Kerajaan perlu lebih bersungguh laksanakan dasar kuota 1 peratus pekerja OKU

KUALA LUMPUR, 3 APR: DAP mendesak kerajaan agar lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kuota satu peratus tenaga kerja Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sektor awam dan swasta.

Menurut Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching, pencapaian dasar yang telah dilaksanakan sejak tahun 2008 itu mengecewakan kerana sasaran berkenaan masih terlalu jauh untuk dicapai, termasuk dalam sektor awam.

“Berdasarkan kuota satu peratus itu, kita menjangkakan 14,000 tempat disediakan kepada OKU di kalangan 1.4 juta kakitangan awam,” ujar Nie Ching.

Namun, menurut beliau, peningkatan kadar pekerja OKU dalam sektor awam masih terlalu rendah walaupun lima tahun telah berlalu sejak dasar satu peratus itu dilaksanakan.

Beliau menyatakan bahawa terdapat sebanyak 581 pekerja OKU pada 2008 dan jumlah ini meningkat sedikit kepada 1,686 pekerja pada tahun 2011, seterusnya mencapai 1,754 pekerja pada tahun 2013.

“Pada kadar sebegini, sepuluh tahun lagi pun sasaran itu tidak akan dapat dicapai,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sekitar sepuluh peratus, atau tiga juta populasi negara adalah OKU.

Negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom menetapkan kuota tiga peratus kakitangan OKU.

Manakala Di Brazil, majikan yang memiliki kurang 200 kakitangan perlu menyediakan dua peratus tempat kepada OKU, dan majikan dengan lebih 1000 kakitangan pula lima peratus.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan itu lagi, kegagalan kerajaan melaksanakan sepenuhnya kuota satu peratus itu akan mengendurkan semangat golongan OKU untuk terlibat dalam sektor awam, apatah lagi swasta.

Beliau menggesa kerajaan menyediakan latihan yang mencukupi kepada golongan OKU bagi memastikan mereka dapat menyara kehidupan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Kerajaan mesti memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab sosial untuk melaksanakan dasar satu peratus agar mereka dapat mengatasi prasangka dan diskriminasi serta supaya mereka dapat terlibat dalam sesuatu pekerjaan berdasarkan merit dan bersaing dengan pekerja bukan-OKU,” ujar beliau. -Roketkini.com