Berita

Khalid perlu buktikan dapat sokongan, panggil sidang DUN

KUALA LUMPUR 11 OGOS: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipecat dari PKR perlu membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Khalid perlu memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Ini termasuklah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk melakukan undi kepercayaan atau cara-cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari Adun PAS dan UMNO,” kata kenyataan itu.

Khalid dilaporkan pagi tadi mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang dan memaklumkan kepada Baginda bahawa beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN Selangor menyokong Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor tanpa syarat dan ikhlas.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS pula masih belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada Khalid sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini.

Justeru, kenyataan tersebut sekali lagi menegaskan bahawa PKR dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa Khalid Ibrahim tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Menteri Besar Selangor.

“Ini bermakna Khalid Ibrahim sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.

“PKR dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas.

“Langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan Pakatan Rakyat terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com