Berita

Esok keputusan benar Pulau Pinang adakan pilihanraya tempatan

GEORGE TOWN, 13 OGOS : Mahkamah Persekutuan akan memberi keputusan Khamis ini sama ada pilihanraya kerajaan tempatan boleh diadakan di Pulau Pinang, kata Exco Kerajaan Tempatan & Pengurusan Trafik Chow Kon Yeow.

Menurut Chow selepas bertahun-tahun pertikaian, keputusan tersebut akan menjadi ‘penghakiman mercutanda’ bagi mana-mana permohonan untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di mana-mana negeri.

“Kes ini akan menjadi duluan yang akan menentukan pertikaian sama ada boleh atau tidak sesebuah pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di mana-mana negeri.

“Hujah kita bahawa dalam jadual Perlembagaan, kuasa kerajaan Pusat dan Negeri terpisah. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang ini adalah mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui ‘undi ketiga’,” kata Chow kepada Roketkini.com.

Tegas Chow pilihanraya kerajaan tempatan adalah perkara di bawah kelolaan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan DUN mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan peruntukan bagi mengadakan pilihan raya tempatan di bawah Jadual Kesembilan dan Perkara 113 (4)  Perlembagaan Persekutuan.

“Kempen memulihkan ‘undi ketiga’ ini telah pun dilancarkan oleh DAP semenjak 2004. Masalah kita ialah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah badan tunggal yang diberi amanah untuk menjalankan mana-mana pilihanraya umum, negeri atau majlis tempatan.

Justeru itu, pada 4 Mac 2010 kerajaan negeri menyerahkan surat kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi meminta diadakan pilihanraya majlis tempatan untuk memilih ahli majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Keengganan SPR untuk melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan memaksa kerajaan negeri Pulau Pinang, pada 11 Mac 2013, memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mencari penyelesaian undang-undang bagi mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

Kerajaan Pulau Pinang dan bekas presiden Aliran P Ramakrishnan dalam petisyennya menamakan kerajaan Malaysia dan SPR sebagai responden bagi mencabar kesahihan dua peruntukan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghalang badan perundangan negeri daripada mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa Seksyen 10 dan 15 dalam akta itu tidak sah dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Chow yang juga Adun Padang Kota menambah, mahkamah dijangka akan membuat deklarasi berhubung kesahihan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai 2012) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 9 Mei 2012 dan diwartakan pada 5 Julai tahun yang sama.

Tegas Chow, pilihanraya kerajaan tempatan diadakan bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan dasar pihak berkuasa tempatan dan terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan di kawasan pengundi bermastautin.

“Sebaliknya, kerajaan pusat lebih suka menyeragamkan (dasar) dengan menggunakan Akta Kerajaan Tempatan,” kata Chow. – Roketkini.com