Berita

Akta Hasutan: Himpunan solidariti Azmi Sharom di UM 10 September

KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER: Berikutan tindakan zalim kerajaan mendakwa Profesor Madya Dr Azmi Sharom di bawah Akta Hasutan 1948, tenaga pengajar dan pelajar Universiti Malaya (UM) menggerakkan himpunan aman Solidarity4AzmiSharom pada 10 September ini.

Penyelaras Kempen Vince Tan berkata, himpunan disertai mahasiswa dari Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Progresif UM, Persatuan Mahasiswa Islam UM dan kakitangan akademik, termasuk Dr Lee Hwok Aun dan Dr Rosli H Mahat.

“Bantahan aman bermula pada jam satu petang hingga dua petang di Perhentian Bas Utama UM dan disusuli ‘Speaker’s Corner’ selepas itu.

“Kami menyeru orang ramai hadir bantahan nanti demi perjuangan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan prinsip-prinsip demokrasi negara. Sesiapa saja boleh datang,” katanya kepada Roketkini.

Vince yang juga Setiausaha Agung Progresif UM menyatakan, pihaknya menggariskan tiga prinsip utama dalam kempen tersebut.

“Prinsip itu menyeru ahli-ahli akademik dan pelajar untuk menyokong Dr Azmi serta menghantar mesej jelas bahawa kita menolak dakwaan hasutan terhadap beliau.

“Kedua, kebebasan ahli akademik harus dihormati pihak berkuasa dan, ketiga, menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memenuhi janjinya memansuhkan Akta Hasutan 1948,” tegasnya.

Beliau menyeru pelajar UM menyokong kempen ini agar kebebasan bersuara ahli akademik dan pelajar dapat dilindungi.

Terdahulu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Malaysian Academics Movement (MOVE) dalam kenyataan bersama kesal dengan penggunaan Akta Hasutan terhadap Dr Azmi kerana jelas mencabul kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

“Sebagai ahli akademik, Dr Azmi harus bebas memberi pendapat akademik secara profesional menurut kepakarannya.

“Selain melanggar hak-hak di bawah Perlembagaan, tuduhan dikenakan merupakan pencabulan serius terhadap Cadangan UNESCO berhubung Status Personel Pengajaran Pengajian Tinggi (1997),” kenyataan tersebut dipetik.

Beberapa kenalan Dr Azmi juga turut melancarkan petisyen ‘Free Dr Azmi’ mendesak kerajaan menarik balik tuduhan di bawah undang-undang kuno dan menindas itu.

Orang ramai yang menyokong kempen dan mahu menandatangani petisyen boleh menghantar nama, pekerjaan dan alamat tempat tinggal kepada penyelaraas kempen di alamat [email protected] atau [email protected]). – Roketkini.com