Berita

Skandal kutipan dana 1MDB: Surat sokongan kerajaan dipalsukan?

KUALA LUMPUR, 10 NOV – Goldman Sachs bukan sahaja dikhuatiri mengenakan caj melampau kepada syarikat pelaburan milik penuh kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah barangkali mengedarkan surat sokongan palsu daripada kerajaan Malaysia bagi penjualan sukuk bernilai USD3 bilion.

Sukuk USD3 bilion tersebut berjaya dijual di kalangan pelabur antarabangsa dengan caj komisyen hampir 10 peratus dikenakan oleh syarikat perbankan tersebut, dengan bermodalkan surat sokongan daripada kerajaan Malaysia.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ketika mencelah ucapan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat menyatakan jaminan kerajaan terhadap hutang 1MDB berjumlah RM36 bilion, bukan sekadar RM5.8 bilion.

Sebaliknya, kewujudan surat sokongan tersebut dinafikan oleh Datuk Ahmad Maslan dalam jawapannya di Parlimen.

Menurut Pua, nilai jaminan lebih tinggi berdasarkan surat sokongan dikeluarkan kerajaan untuk membantu 1MDB mengumpul dana USD3 bilion dalam bentuk sukuk.

Surat tersebut turut disiar dalam kenyataan tawaran oleh Goldman Sachs International (GSI) untuk memasarkan tawaran sukuk USD3 bilion oleh anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investments Limited.

“Dengan penafian rasmi oleh Kerajaan Malaysia tentang kewujudan surat tersebut di Parlimen, surat disiar oleh Goldman Sachs International ini tentulah palsu, manakala usaha mengumpul dana adalah penipuan,” kata Pua dalam satu kenyataan.

GSI menyiarkan surat tiga muka surat tersebut dalam dokumen tawarannya di muka surat ke 86, didakwa ditandatangani Menteri Kewangan sendiri bagi pihak kerajaan Malaysia.

Namun Ahmad Maslan direkodkan dalam hansard Parlimen sebagai berkata, “Tidak ada surat apa semua, yang ini sahaja yang boleh jawab, RM5.8 bilion…”

“Itu sahaja yang dijamin oleh kerajaan, tidak ada lebih daripada itu. Selain daripada itu, 1MDB tidak menerima jaminan daripada kerajaan bagi pinjaman-pinjaman yang lain… Satu lagi yang disebut mengenai letter of support itu sebenarnya tidak ada.”

Justeru itu, Pua mendesak semua pihak yang terlibat dalam penipuan berbilion ringgit ini dihadapkan ke muka pengadilan, memandangkan reputasi negara terjejas dengan dakwaan surat sokongan palsu tersebut.

“Kami menyeru supaya Kerajaan Malaysia segera melaporkan kepada pihak polis dan Interpol, dan Peguam Negara segera memulakan siasatan terhadap Goldman Sachs International.

“Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, Perdana Menteri, dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB mesti segera mengeluarkan arahan supaya semua anak syarikat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan menghentikan sebarang urus niaga serta menyenarai-hitamkan firma pelaburan tersebut,” ujar Pua. – Roketkini.com