Berita

EDL di Johor lebuhraya terpendek, tapi kutip tol tertinggi

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Selain kos pembinaan terbesar dan tidak berpadanan dengan kepanjangannya, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor Bahru juga nampaknya adalah lebuhraya yang bakal mengaut bayaran tol paling tinggi.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, EDL sepanjang 8.1 kilometer yang dibina Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan kos RM1.2 bilion (RM148.15 per kilometer) bakal mengutip RM4.3 bilion sepanjang 34 tahun konsesi.

Kutipan itu jauh lebih tinggi berbanding lebuhraya lain seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH) sepanjang 7.7km dengan kos RM751 juta yang dijangka mengituip tol RM949 juta.

Begitu juga dengan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE, 25km, kos RM501 juta, RM1.01 bilion kutipan tol) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA, 14.7km, kos: RM750 juta, kutipan tol RM713 juta).

“Di antara empat lebuhraya ini, nampaknya MRCB membuat untung paling besar. Anggaran ini belum mengambil kira peningkatan trafik dan kadar tol pada masa akan datang,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Anggaran tersebut merujuk angka rasmi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), syarikat yang membina Akleh, Lebuhraya Koridor Guthrie dan LKSA.

Menurut Prolintas, purata kenderaan menggunakan AKLEH kini adalah 21.6 juta, LKSA 23.4 juta, dan GCE pula 27 juta setahun.

Pada 12 Ogos lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia dilapor menganggarkan purata kenderaan yang menggunakan EDL sehari adalah 60,000 buah (21.9 juta setahun).

Justeru itu, Nie Ching mempersoalkan mengapa pemegang konsesi EDL, iaitu MRCB dibenarkan mengutip tol jauh lebih tinggi berbanding lebuhraya lain.

“Apakah mekanisme yang digunakan untuk mengira kadar tol dan keuntungan syarikat konsesi? Mengapa MRCB dibenarkan kutip lebih banyak berbanding yang lain?

“Kerajaan perlu telus menangani kenaikan kadar tol dan mendedahkan perjanjian konsesi kepada umum. Kita faham bahawa syarikat konsesi bukan organisasi tanpa keuntungan dan kebajikan, namun perlu ada had ketika mengaut keuntungan,” ujarnya.

Bermula 1 Ogos lalu, Kementerian Kerja Raya menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru bagi pengguna EDL kelas 1 hingga 5 masing-masing pada kadar RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 (ke Malaysia) dan RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 (ke Singapura).

Kenaikan mendapat bantahan banyak pihak, malah ratusan pemandu bas kilang mengadakan mogok dengan enggan memasuki Singapura akibat kenaikan itu menyebabkan kesesakan teruk selama empat jam bermula jam 4 pagi pada hari pertama kadar baru dikuatkuasakan. – Roketkini.com