Rencana

Laporan RCI Sabah: Misi UMNO selamatkan diri sendiri

Pertamanya izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang memenuhi forum yang dianjurkan dengan notis yang begitu singkat, kerana mengambil bahagian dalam pungutan suara dan tidak ada seorang pun di dalam dewan ini yang menyokong laporan RCIIIS yang dikeluarkan di Kota Kinabalu pada 3 Disember lalu, dan secara sebulat suara menunjukkan rasa kecewa serta menolak laporan RCIIIS itu.

Ini mengesahkan rasa tidak percaya dan keresahan  yang begitu parah sedang menular di kalangan rakyat Kota Kinabalu dan Sabah terhadap laporan RCIIIS itu mengecewakan, setelah rakyat meletakkan harapan begitu tinggi supaya akhirnya wujud penyelesaian kepada masalah empat puluh tahun pendatang asing tanpa izin yang telah mengubah demografi politik, selain memberi kesan kepada landskap sosial, ekonomi dan keselamatan rakyat negeri ini.

Malah saya telah menyatakan, dan ia disahkan malam ini – bahawa sekiranya laporan RCIIIS itu didedahkan sebelum PRU ke-13 bulan Mei tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjadi Perdana Menteri hari ini, dan sekiranya pilihanraya negeri diadakan sekarang, laporan RCIIIS itu akan menjadi isu yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan UMNO-BN di Sabah.

Biar saya katakan bahawa laporan RCIIIS itu amat tidak memuaskan hati. Lebih 5,000 mukasurat daripada laporan RCIIIS telah hilang ketika ia didedahkan pada 3 Disember.

Saya menggesa Najib untuk segera mendedahkan halaman-halaman yang hilang itu.

Laporan RCIIIS sepatutnya merupakan laporan paling tebal dan paling banyak jilid berbanding begitu banyak laporan RCI dalam sejarah negara, tetapi ia hanya setebal 368 mukasurat.

Laporan RCI mengenai skandal video Lingam mempunyai empat jilid: Jilid 1 – 191 mukasurat; Jilid 2, nota-nota keterangan – 1,187 muka surat; Jilid 3 Akuan Bersumpah – 513 mukasurat dan Jilid 4, Eksibit – 474 mukasurat. Jumlahnya 2,365 mukasurat!

RCIIIS menerima 361 memorandum dan 177 eksibit, mengadakan pendengaran awam bermula 14 Januari sehingga September 2013, dengan 211 orang saksi dikemukakan.

Di manakah semua memorandum, nota-nota keterangan, akuan-akuan bersumpah dan eksibit yang dikemukakan kepada RCIIIS? Saya difahamkan ia melebihi 5,000 mukasurat- yang merupakan bahagian penting laporan tersebut?

Kenapa Kerajaan mengeluarkan kurang daripada 10 peratus daripada laporan sebenar RCIIIS, padahal RCI skandal video Lingam boleh dipersembahkan dengan lebih 2,300 mukasurat dengan semua nota-nota keterangan, akuan bersumpah dan eksibit dikemukakan?
Perkara pertama yang perlu dituntut oleh rakyat Sabah dan Malaysia daripada Najib ialah supaya beliau mendedahkan keseluruhan laporan RCIIIS memandangkan ia melibatkan kepentingan awam, maka kesemua 5,000 mukasurat memorandum, nota keterangan, akuan bersumpah dan eksibit perlu didedahkan kepada orang ramai.

Malah, ini seharusnya menjadi tugas pertama jawatankuasa kerja RCIIIS Datuk Joseph Pairin. Adakah Joseph Pairin bersedia untuk menyatakan pendirian bahawa keseluruhan laporan RCIIIS setebal lebih 5,000 mukasurat itu mesti didedahkan segera kepada orang ramai?

Kedua, apakah sebabnya status ‘Diraja’ RCIIIS itu dibuang, kerana muka hadapan laporan RCIIIS sekadar menyatakan ‘Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah’. Di sini saya ada senaskhah laporan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh bekas ketua hakim Tun Dzaiddin yang dilantik oleh perdana menteri waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Jelas dicetak di kulit depan adalah perkataan ‘Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia’.

Kenapa tiba-tiba Kerajaan Persekutuan membuang status ‘diraja’ laporan RCIIIS, dan tidak mencetaknya dengan jelas di kulit naskhah laporan itu bahawa ia adalah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah?

Tambahan kepada itu, kenapa tidak ada tandatangan para Pesuruhjaya pada laporan itu, malah tidak ada kata-kata aluan oleh pengerusi RCIIIS, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, sedangkan ada pendahuluan oleh pengerusi RCI Polis Tun Dzaiddin di laporan RCI-nya?

Ketiga, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya berada di Kota Kinabalu untuk melancarkan laporan RCIIIS tersebut secara peribadi demi menunjukkan bahawa beliau memandang serius terhadap RCIIIS dan penyelesaian masalah empat puluh tahun rakyat Sabah.

Malangnya Najib memainkan peranan perdana menteri ghaib dan memberikan tugas melancarkan laporan RCIIIS kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail – dan kedua-duanya tambah mengelirukan majlis dengan samada memutarbelit laporan tersebut atau memberikan pernyataan salah mengenai masalah pendatang asing tanpa izin.

Hamsa, sebagai contoh, mendakwa bahawa ahli politik bebas daripada sebarang implikasi dalam ‘Projek IC’ yang tidak dilakukan oleh RCIIIS.

Gani pula mendakwa bahawa pendatang asing tanpa izin telah dibersihkan daripada daftar pemilih, justeru ia bersih daripada nama pendatang asing tanpa izin di Sabah – ini adalah tidak berasas dan tidak benar.

Seorang pesuruhjaya RCI berkata bahawa tidak ada sebarang bukti mengenai Projek IC, tetapi jika kita membaca laporan RCIIIS, saya telah menemukan banyak bukti-bukti.

Amat memeranjatkan apabila pesuruhjaya ini tidak dapat melihat bukti-bukti tersebut dan mengecewakan rakyat Sabah. Inilah sebabnya kenapa rakyat Sabah merasakan laporan RCIIIS langsung tidak memuaskan.

Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Undangan Negeri telah turut mengecewakan rakyat, kerana mereka sepatutnya berada di baris hadapan bukan hanya menunjukkan kebimbangan tetapi juga untuk menyelesaikan mimpi ngeri 40 tahun masalah pendatang asing tanpa izin negeri ini.

Kenapa DUN Sabah belum mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan laporan RCIIIS sekiranya Kerajaan Negeri benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah 40 tahun pendatang tanpa izin di Sabah?

Dengan laporan RCIIIS menjadi suatu kegagalan dan kekecewaan kepada harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah dan Malaysia, seharusnya dilakukan sebuah laporan mengenai laporan RCIIIS untuk menunjukkan di mana salah silap dan kegagalan RCIIIS terhadap rakyat, negeri dan negara.

Bagaimanapun, sebagai langkah pertama, Perdana Menteri mesti mendedahkan baki 5,000 muka surat yang hilang daripada laporan RCIIIS itu tanpa berlengah lagi.

Adakah Menteri-menteri BN Sabah, Ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun serta pemimpin menyahut seruan ini? -Roketkini.com