Rencana

Melawan pelampau agama dengan demokrasi

Secara etimologinya Islam berasal daripada kata akar bahasa Arab yang bermakna keamanan. Malangnya, sebagaimana dinyatakan oleh pengulas politik terkenal Fareed Zakaria, Islam hari ini lebih kerap dikaitkan dengan terorisme dan kegiatan militan.

Memetik perangkaan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, beliau menegaskan bahawa tujuh daripada 10 kumpulan utama yang melakukan serangan pengganas pada tahun 2013 merupakan kumpulan yang berkait dengan Islam. Tambahan pula, kebanyakan kes serangan berlaku di negara-negara majoriti Muslim.

Justeru, apa yang biasa dilihat pada zaman moden sebagai terorisme biasanya membawa konotasi Islam. Apabila seseorang memikirkan kumpulan pengganas, sudah tentu antara nama yang awal difikirkan adalah al-Qaeda, Negara Islam (Iraq dan Syria), Taliban dan Jemaah Islamiyah. Selain itu, secara lazimnya, hanya dalam masyarakat Islam kita akan dengar tentang pembunuhan maruah (honour killings), merejam “wanita berzina,” hukuman mati untuk murtad serta pencabulan hak asasi manusia lain yang dijalankan atas nama agama.

Dalam konteks ini, munasabah untuk mencadangkan bahawa dunia Islam kini berhadapan dengan cabaran ekstremisme agama. Malah, ada yang mencadangkan bahawa keganasan itu merupakan citra fitrah agama Islam. Ada pula seperti Samuel Huntington yang mendakwa bahawa Islam secara dasar bercanggah dengan nilai-nilai ketamadunan Barat seperti demokrasi.

Walau bagaimanapun, pandangan dunia primodial ini adalah terlalu dangkal dan mengabaikan kerencaman tradisi Islam, serta hakikat bahawa bagi kebanyakan sejarah dunia, tamadun Kristian jauh lebih ganas dan kejam khususnya dalam layanan terhadap minoriti (sepertimana yang berlaku dalam Perang Salib, Pasitan Sepanyol dan pemburuan ahli sihir).

Lebih penting lagi, perspektif sebegitu juga tidak mengambil kira hakikat bahawa evolusi agama, seperti mana-mana ideologi sosiologi lain, sebahagian besarnya didorong dan dibentuk oleh kepentingan politik dan bukannya doktrin ketuhanan.

Islam sebagai alat kuku besi

Menurut Pew Research Center, 19 daripada 24 negara yang paling terbatas di dunia dari segi amalan agama merupakan negara majoriti Islam. Malangnya, Malaysia termasuk dalam senarai memalukan ini bersama-sama dengan negara seperti Mesir, Syria, Afghanistan, Sudan dan Iraq, di mana “undang-undang, dasar dan tindakan” mengenakan “sekatan terhadap kepercayaan dan amalan agama” yang sangat ketat.

Pun begitu, sebelum tergesa-gesa membuat kesimpulan bahawa ini membuktikan Islam adalah konservatif dan bersifat menindas, kita harus ingat bahawa senarai sama juga menyenaraikan China, Vietnam, Myanmar, Rusia dan Eritrea, di mana tidak satu pun merupakan negara majoriti Muslim. Sebaliknya, semua negara tersebut berkongsi kekurangan ruang demokratik yang ketara serta mengamalkan bentuk tadbir urus gaya autoritarian.

Oleh itu, mungkin hipotesis yang lebih tepat adalah semakin kuat cengkaman autoritarianisme dalam sesebuah negara, lebih tegar dan konservatif pengalaman agama di negara tersebut. Ini kerana pentadbir akan cuba untuk mentafsir, menentukan dan mengawal agama tersebut. Maka, adalah tidak mengejutkan bahawa di negara-negara majoriti Muslim, Islam makin dirampas dan dipergunakan sebagai alat untuk menyekat persaingan ideologi serta memberi legitimasi kepada hegemoni kuasa autoritarian.

Pada ketika ini, seseorang boleh mengemukakan cadangan bahawa mungkin ada sesuatu tentang Islam yang menjadikan masyarakat Muslim mudah terdedah kepada pemerintahan totalitarianisme. Walau bagaimanapun, seperti yang saya kemukakan sebelum ini, mana-mana ideologi dominan boleh dan akan digunakan oleh rejim yang tidak demokratik. Gantikan sahaja Islam dengan sifat nasionalisme dan kita boleh bayangkan Nazi Jerman, atau dengan sosialisme pertanian melampau dan kita akan segera membayangkan Pol Pot di Kemboja.

Dalam erti kata lain, isunya bukan ideologi tetapi politik dan pengagihan kuasa. Di tangan rejim autoritarian, Islam sememangnya boleh menjadi alat ideologi yang kuat. Pun begitu, terdapat juga banyak contoh di mana Islam boleh menjadi pemangkin kepada kebebasan dan pencerahan.

Ambil sebagai contoh gerakan islah di Mesir pada abad ke-19 dan awal ke-20 yang diterajui oleh para pemikir progresif seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida. Kembali lebih jauh ke sejarah dan kita akan berjumpa dengan kemajuan yang dibawa oleh Islam, khususnya semasa kemuncak Zaman Kegemilangan Islam dari abad ke-9 hingga abad ke-13, apabila pemikir dan cendekia Muslim memimpin dunia dalam bidang matematik, fizik, perubatan dan astronomi.

Siapa yang mentakrifkan realiti?

Jelas bahawa Islam sama ada boleh disalahguna untuk menindas rakyat, atau digunakan untuk membolehkan kebebasan dan pencerahan. Ini adalah dua realiti sosial yang amat berbeza, jadi persoalannya ialah: apakah yang menentukan realiti ini?

Saya mencadangkan bahawa perkara ini banyak bergantung kepada dinamik yang wujud dalam pengalaman agama di negara tertentu. Meminjam daripada ahli sosiologi Shamsul AB, realiti sosial boleh menjadi “authority-defined,” iaitu ditentukan oleh mereka dalam struktur kuasa yang dominan, atau “everyday-defined,” yang menggambarkan pengalaman orang ramai dalam perjalanan kehidupan seharian. Kedua-dua realiti sosial tidak saling eksklusif dan dalam kebanyakan kes, wujud seiring, walaupun sering berkonflik antara satu sama lain.

Di mana ruang demokratik wujud dan lebih organik, pengalaman Islam “everyday-defined” akan berkembang dan menjadi dominan. Dalam kes ini, Islam bukan sahaja akan menjadi lebih aman dan bertolak ansur, ia juga akan membolehkan kemajuan peradaban. Masalah hanya timbul apabila pemerintah memutuskan untuk mengetatkan kawalan.

Ambil sebagai contoh, keributan baru-baru ini sekitar program “I want to touch a dog” yang diadakan di Central Park, Bandar Utama, Selangor. Apabila dilaporkan bahawa beberapa peserta Muslim bergambar memegang anjing, Majlis Fatwa Kebangsaan berhimpun dan mengambil keputusan bahawa menyentuh anjing adalah bertentangan dengan ajaran Islam takrifan rasmi. Peraturan ini bukan sahaja mengabaikan pelbagai pandangan ilmiah mengenai perkara tersebut, tetapi juga tidak selaras dengan tradisi dan amalan yang lama wujud dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Demikian juga dengan kes rampasan Bible berbahasa Melayu, serbuan ke atas gereja yang menjalankan upacara dalam bahasa Melayu, serta pengharaman penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Muslim. Selama berdekad-dekad, gereja-gereja, khususnya di Malaysia Timur, giat menggunakan Bible berbahasa Melayu, mengajar pengikut mereka dalam Bahasa Kebangsaan dan juga berkongsi nama “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan. Keadaan ini tidak pernah menjadi isu dalam masyarakat kita sehingga hari ini, ketika pemerintah dengan tiba-tiba memutuskan bahawa amalan sedemikian akan membahayakan iman Melayu-Islam di negara ini.

Jelas sekali, terdapat agenda politik yang mendasari setiap tindakan ini. Pemerintah jelas ingin memaksakan takrifan “authority-defined” untuk menentukan bagaimana Islam harus diamalkan. Sebagaimana gambaran contoh di atas, hasilnya adalah provokatif, tidak logik dan bertentangan dengan norma-norma masyarakat “everyday-defined.” Secara kesimpulan, pengawalan dan kekangan ke atas agama merupakan cara untuk menghalalkan kuasa pemerintah.

Pendemokrasian budaya

Berbeza dengan sifat parokial Islam yang dilaungkan oleh pihak berkuasa, pengalaman Islam “everyday-defined” di rantau ini sentiasa akomodatif, progresif dan yang paling penting, aman.

Ambil sebagai contoh isu kepimpinan wanita, konsep yang telah ditolak oleh pihak tertentu semasa krisis kepimpinan di Selangor baru-baru ini. Mereka yang menentang kemungkinan seorang wanita dijadikan menteri besar telah menggunakan alasan budaya dan agama. Namun perspektif sempit ini sebenarnya mendustakan hakikat bahawa kepimpinan wanita merupakan inovasi lama dalam dunia Melayu, sebagaimana pengalaman sejarah Pattani, Acheh, Solor, Jambi dan juga Kelantan membuktikan.

Sama juga dengan obsesi ke atas terjemahan Bible dalam bahasa Melayu. Hari ini, kerajaan mempertahankan pelampau yang membuat ancaman terbuka untuk membakar Bible, atas dasar bahawa mereka sekadar melindungi kesucian Islam. Tindakan ini sama sekali tidak selari dengan hakikat bahawa Bible berbahasa Melayu telah wujud sejak tahun 1628 apabila Belanda pertama kali menghasilkan versi Indonesia. Setelah hampir empat abad, pihak berkuasa agama Malaysia mungkin terkejut jika diberitahu bahawa Indonesia tidak bertukar menjadi sebuah negara Kristian. Sebaliknya, Indonesia merupakan negara dengan bilangan umat Islam yang terbanyak di dunia.

Adalah jelas daripada pengalaman rantau ini bahawa idea dan cita-cita Islam yang berakar umbi dalam kesaksamaan, keadilan dan kemajuan sosial boleh dan akan berkembang secara organik apabila tidak dikekang oleh batasan yang dipaksakan atas tujuan politik. Sikap melampau timbul apabila suara hati dan kebebasan rakyat ditindas.

Oleh itu, perjuangan menentang ekstremisme agama hendaklah bermula dengan tuntutan bagi ruang yang lebih demokratik dalam kancah politik, sosial dan budaya. Hanya usaha pemberdayaan dan pencerahan yang mampu mengembalikan amalan dan tafsiran agama kepada masyarakat, serta menjauhkannya daripada komplot pemerintah. – Roketkini.com