Berita

Penstrukturan Belanjawan 2015 perlu ikrar hapus rasuah – Kit Siang

GELANG PATAH, 19 JAN: Penstrukturan semula Belanjawan 2015 perlu mengisytharkan komitmen kerajaan memerangi rasuah dan ketidakcekapan kerajaan kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, Malaysia akan terus ketinggalan di belakang China dan Indonesia yang menangkap ‘harimau’ dan ‘buaya’, berbanding Malaysia yang hanya menangkap ‘ikan bilis’.

“Jika kerajaan tak lakukan sesuatu, kedudukan Malaysia di Transparency International (TI) dan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terus di belakang Indonesia dan China yang pernah duduk di dua tangga terbawah indeks itu.

“Adakah Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak kaji cara China dan Indonesia menangkap ‘harimau’ dan ‘buaya’?

“Sedangkan Malaysia sejak pemerintahan Mahathir, Pak Lah dan Najib hanya mampu tangkap ‘ikan bilis’ saja,” Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Kata Kit Siang sehingga SPRM kini masih tidak menunjukkan kejayaan cemerlang, sebaliknya hanya menambah birokrasi.

“Kempen ini (perang terhadap rasuah), boleh menyelamatkan Malaysia dan wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion ringgit,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Kit Siang penstrukturan semula Belanjawan 2015 perlu menyemak peruntukan besar terutamanya kepada JPM.

Semalam, Ahi Parlimen Kluang Liew Chin Tong menggesa kerajaan memotong peruntukan RM7 bilion JPM, dan bukannya mengurangkan belanja sosial ke atas penstrukturan semula Belanjawan 2015.

Terdapat tujuh projek di bawah JPM termasuk program kemiskinan (RM160 juta), program pembangunan (RM1.1 bilion), projek mesra rakyat (RM670 juta), dana fasilitasi (RM2.5 bilion), projek kecil (RM300 juta) dan projek khas (RM1.6 bilion).

“Najib mesti tunjukkan contoh dengan memotong 50 peratus dari 19.1 bilion ringgit ‘dana samar’ kepada JPM bagi agenda politik BN.

“Najib juga harus kurangkan menteri dan jabatan-jabatan menteri sekurang-kurang 10 peratus sebagai berjimat-cermat,” kata Kit Siang.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, penstrukturan Belanjawan 2015 yang dijangka esok adalah langkah menangani kemerosotan nilai ringgit dan penurunan harga minyak, – Roketkini.com