Berita

Kegigihan Wan Azizah satukan pembangkang dipuji

JOHOR BAHRU, 23 SEPT: Gabungan pembangkang Johor memuji Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang telah mengambil inisiatif menyatukan parti-parti pembangkang dalam satu pasukan untuk berdepan dengan UMNO-Barisan Nasional.

Dalam kenyataan bersama PKR, DAP dan Amanah Johor, mereka menyokong penuh keputusan ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti, iaitu Dr Wan Azizah selaku Presiden PKR; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, atas pelancaran Pakatan Harapan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh wakil Amanah, Aminolhuda Hassan, Liew Chin Tong (DAP) dan Jimmy Puah (PKR) selepas satu mesyuarat di sini malam tadi.

Pada 20 Jun lalu, DAP Johor bersetuju untuk bergerak bersama Gerakan Harapan Baru (GHB), kumpulan moderat yang berpisah daripada PAS yang telah dikuasai golongan konservatif. Pada 26 Julai, PKR Johor telah menyatakan keterbukaan untuk bersama dengan DAP dan Gerakan Harapan Baru bagi gerak kerja di Johor.

Pada 11 September lalu, ketiga-tiga pimpinan PKR, DAP dan GHB Johor telah menyatakan iltizam bergerak kerja bersama dalam satu pasukan. Pada 16 September, GHB diumumkan sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Semalam, pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti telah melancarkan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur berikutan keputusan PAS memutuskan semua hubungan dengan DAP, serta enggan bekerjasama dengan Amanah.

Pimpinan Pakatan Harapan di Johor telah bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan dengan pimpinan pusat Pakatan Harapan pada 9 Oktober depan.

“(Kami) turut menyambut baik langkah Pakatan Harapan di peringkat pusat yang telah mengumumkan perwujudan Jawatankuasa Khas diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti, dan Johor akan menanti pengarahan selanjutnya,” kata kenyataan bersama itu. – Roketkini.com