Berita

Wakil rakyat DAP cemerlang di Selangor tanpa ‘bodek’

KUALA LUMPUR 2 NOV: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyifatkan wkil rakyat DAP di Selangor paling cemerlang berikutan kebolehan mereka dalam mempengaruhi dasar kerajaan negeri bagi memajukan negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, mereka menjalankan amanah tanpa perlu menjadi ‘pembodek’ pimpinan Kerajaan Selangor, sebaliknya sentiasa memberi kritikan membina apabila perlu.

“Walaupun penyokong kerajaan, mereka tidak menjadi pembodek. Apa yang baik dipuji dan apa yang perlu ditambah baik, disoal dan dikritik secara membina,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor, semalam.

Antara wakil rakyat DAP di negeri itu ialah Lau Weng San (Kampung Tunku), Ng Sze Han (Kinrara), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing), Yeo Bee Yin (Damansara Utama).

Sejak 2014, beliau berkata, mereka menyediakan 26 laporan Jawatankuasa Tetap dan Jakatankuasa Pilihan Khas berkepentingan kepada rakyat termasuk isu pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri.

“Semua laporan itu memberi kesan untuk mempengaruhi dasar kerajaan negeri,” katanya.

Antaranya, beliau berkata Laporan Pengurusan Air dan Pembekalan Sumber Air Mentah yang disediakan Bee Yin mempengaruhi keputusan Kerajaan Selangor untuk memperuntuk RM778 juta bagi membina dan menaik taraf tiga loji rawatan air mulai 2017.

LAU_WENG_SAN_AND_NG_SZE_HAN_GLC_TMI_PICSelain itu, katanya, Hannah Yeoh selaku Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) terus memainkan peranan  dalam  Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) yang ditubuh bekas speaker, Teng Chang Khim  bagi memperkasa badan perundangan demokrasi berparlimen.

“Ng Suee Lim pula menjalankan tugas sebagai Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang  (PAC) dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, kata Pua, wakil rakyat DAP menegur pimpinan Kerajaan Selangor dalam isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) supaya mewujudkan struktur pentadbiran berhemah sebelum operasi syarikat bermula, selain isu pemindahan tapak Bazar Deepavali di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).