Rencana

Perihal mahasiswa ikat perut, menteri tak berhati perut

 

ISU mahasiswa yang mengalami masalah kesempitan kewangan bukan masalah baru. Ia sudah lama, namun tiada akhbar berani mendedahkan sehinggalah akhir-akhir ini. Apabila didedah, barulah ramai yang membuka mata.

Namun, pada saat rakyat biasa sayu membaca laporan akhbar yang mendedahkan ada mahasiswa yang terpaksa ikat perut, sanggup pula seorang menteri mengatakan dia pun pernah berasa lapar.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairi Jamaludin membuat kenyataan seolah-olah perkara itu tidak berlaku – satu reaksi tidak berperikemanusiaan.

Menteri yang diberi pelbagai elaun, makan di restoran mewah, sanggup pula samakan dengan rasa lapar mahasiswa  yang berbulan-bulan tidak kenal nasi, hanya menjamah mee segera sebagai mengalas perut untuk menghadiri kelas.

Mahasiswa yang bergantung kepada RM250, baki selepas membayar yuran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mungkin sanggup untuk meminta wang dari ibu bapa mereka. Malah, ibu bapa mereka turut dihimpit masalah kewangan dan belum tentu dapat membantu.

Justeru, pimpinan mahasiswa seluruh negara menyeru rakyat Malaysia yang bersimpati supaya  menghubungi persatuan mahasiswa universiti seluruh negara dan menghulurkan bantuan. Bantulah mahasiswa untuk makan.

Makanan adalah hak asasi manusia, apatah lagi mahasiswa yang menjadi harapan untuk membangunkan negara kita, sekaligus mengantikan menteri yang tidak berhati perut, yang tidak pernah simpati dengan masalah rakyat.

Bantulah projek makanan percuma yang dijalankan di beberapa universiti seperti  Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bantulah supaya projek itu dapat membantu mahasiswa untuk makanan yang baik.

Untuk penyelesaian masa hadapan, semua rakyat perlu bergabung suara mendesak kerajaan supaya menyelesaikan masalah dengan menurunkan harga barang, memberi subsidi seperti skim bantuan makanan melalui pengusaha kafeteria di universiti dan bantuan lain.

Andai hari ini kita biar mahasiswa terus kelaparan, sudah pasti kita akan gagal melahirkan cerdik pandai berintelektual tinggi. Kalau pada zaman ijazah sarjana muda lagi mereka perit menjalani kehidupan, sudah pasti mereka tidak menyambung pengajian ke peringkat ijazah dek desakan sara hidup.

Impian kita untuk melihat peningkatan pemegang doktor falsafah sudah tentu musnah.

 

* Al-Filfilany ialah Presiden Pertubuhan Intelektual Marhaen di Universiti Al-Azhar