Rencana

Razlan perlu jujur dengan diri, BN juga tolak RUU 355

Saya cukup teruja apabila Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membuat kenyataan balas menuduh DAP sebagai parti yang biadap terhadap orang Melayu. Antara dakwaan yang paling menghairankan adalah DAP biadap kerana menolak pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 untuk menaikkan hukuman jenayah syariah yang dibawa oleh Presiden PAS.

Saya terkejut kerana cukup mudah beliau menjadikan bantahan terhadap RUU sebagai kayu ukur kebiadapan terhadap orang Melayu. Jika itulah kayu ukurnya, maka saya fikir ahli Parlimen Barisan Nasional yang dianggotai oleh UMNO juga turut sama biadap terhadap orang Melayu. Jelas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri juga biadap kerana menolak RUU 355. Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem turut sama biadap kerana menyarankan ahli Parlimen Sarawak menolak RUU ini. Malah, tanpa segan silu, pemimpin BN daripada parti MCA, MIC, Gerakan dan SUPP telah membuat kenyataan bersama membantah RUU.

Namun kita tidak mendengar Razlan menemplak mereka. Malah UMNO, parti yang Razlan junjung tidak segan silu tidur sebantal dengan parti-parti itu di dalam BN. Barangkali demi kuasa, biadap atau tidak biadap pun boleh menjadi subjektif!

Malahan, bantahan terhadap RUU datang daripada masyarakat sivil lain seperti Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan G25 (gerakan terdiri daripada bekas penjawat awam Melayu) yang berpendapat pindaan ini tidak perlu dan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud. Mereka ini juga Melayu tetapi tidak bersetuju dengan RUU.

Adakah mereka ini semuanya biadap menurut Razlan? Jika ya, adakah Razlan dan gerombolannya bakal ke pejabat mereka untuk berdemonstrasi dan mencampakkan wang neraka? Razlan juga tidak perlu berlakon sebagai pejuang RUU 355, jika benarlah UMNO bersungguh-sungguh mahu meluluskan RUU, mengapakah pindaan RUU ini di”sub-kontrak”kan kepada PAS?

Saya fikir Razlan perlu berfikir sejenak siapa di Malaysia ini yang “biadap” dengan orang Melayu dengan cara menindas mereka dan gagal menjalankan amanah dengan baik. Sepanjang tempoh pemerintahan UMNO, tanah rizab Melayu telah berkurangan sehingga ke tahap 12% daripada jumlah tanah yang diperuntukkan, walhal di dalam Perlembagaan sudah termaktub tanggungjawab untuk menggantikan semula tanah rizab yang dihilangkan statusnya.

Beliau mungkin boleh merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menyatakan sebanyak 65 kes penggantian tanah rizab Melayu di Pahang yang masih belum diselesaikan. Dalam hal ini, siapa agaknya telah biadap dengan membenarkan tanah rizab berkurangan tidak berganti? Belum lagi kita senaraikan berapa banyak tanah setinggan yang telah dihalau tanpa pampasan walaupun kerajaan pimpinan UMNO mampu untuk mengubah dasar tanah negara.

Saya fikir hal ini lebih utama dijawab oleh Razlan jika benar beliau sayangkan Melayu dan bukan sekadar bersorak tidak tentu hala. Kebajikan, hak untuk hidup dengan baik, pengurusan duit negara yang mengutamakan rakyat, ini semua isu besar yang sepatutnya menjadi perjuangan orang Melayu bersama-sama dengan etinik-etnik lain di Malaysia. Perjuangan orang Melayu ini lebih besar daripada isu-isu picisan yang cuba dimainkan Razlan.

Akhir sekali, saya merasakan Razlan tidak layak bercerita soal biadap jika beliau sendiri tidak menghormati orang lain dan mempermainkan agama lain. Sebelum bercerita soal biadap, eloklah beliau cermin diri dan mengubah diri.

Saya menyeru kepada beliau selaku pimpinan Pemuda UMNO untuk tidak lagi bermain politik label yang kononnya DAP anti-Melayu dan Islam. Marilah kita bawa politik matang berbincang soal tatakelola negara yang semakin tidak tentu hala di bawah kepimpinan UMNO kini.

*Farhan adalah seorang Peguam dan juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang