Rencana

Jangan rendahkan kebijaksanaan orang Melayu dengan kejahilanmu, Razlan

Saya terpanggil untuk membalas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii bertarikh 31 Ogos 2016 yang menyenaraikan ‘bukti’ DAP tidak menghormati kaum Melayu.

Saya tertanya sama ada Razlan sedar bahawa UMNO lah parti yang percaya ia adalah okey untuk merujuk kepada ahli-ahlinya yang kesemuanya berkaum Melayu sebagai ‘macai’. Dalam DAP, semua individu dilayan secara samarata, sedangkan UMNO memandang rakyat sebagai ‘pak turut’.

Oleh itu, ironinya, pilihan perkataan Razlan mencerminkan persepsi parti itu terhadap ahli-ahli belia mereka sendiri.

Betulkan saya jika salah, tetapi bukankah Ahli Parlimen UMNO yang membuat kenyataan liar bahawa MO1 merupakan Yang di-Pertuan Agong, pemelihara Islam dan monarki tertinggi di kalangan Raja-raja Melayu?

UMNO lah merupakan parti yang tidak henti-henti menghina orang Melayu dengan menggunakan ketakutan bagi melemahkan mereka untuk kepentingan politiknya,Sebagai ketua pemuda cawangan UMNO, saya tidak hairan jika Razlan mempunyai idea yang menyimpang tentang apa sebenarnya yang menghina kaum Melayu.

Razlan perlu faham bahawa kaum Melayu ingin bebas dari sebuah parti politik yang kononnya mewakili mereka tetapi hakikatnya, menipu mereka. Malangnya, apabila ada mana-mana orang Melayu yang berani menentang UMNO, mereka terus diberi amaran bahawa seluruh kaum itu akan ‘musnah’ jika UMNO kehilangan kuasa. Modus operandi ini telah lama digunakan dan kini, ia tidak lagi relevan – sama seperti politik perkauman yang dibawa mereka.

Menentang rang undang-undang hudud tidak bermaksud menentang Islam. Bagaimana perkara itu boleh terjadi sedangkan ahli-ahli parlimen sememangnya menjalankan tanggungjawab mereka untuk membahas setiap undang-undang yang dibentang, terutama apabila ia membawa kesan meluas kepada rakyat? Pada masa sama, mengapa sekutu BN seperti Gerakan, MCA serta MIC yang mengkritik pelaksanaan hudud tidak pula dituduh sebagai tidak menghormati Melayu dan Islam?

Merujuk kepada Oktoberfest, Razlan mungkin tidak sedar tetapi ia merupakan perayaan penting kaum Bavarian secara tahunan di Jerman di mana masyarakat akan berkumpul dan bersama-sama meraikannya dengan makanan, muzik, permainan, pertunjukan pertanian dan sebagainya. Kini, ia disambut di seluruh dunia sebagai satu festival antarabangsa – bukan semata-mata tentang meminum arak seperti apa yang Razlan cuba sampaikan.

Festival Oktoberfest yang dihadiri oleh ahli-ahli parlimen DAP itu bukannya dianjurkan oleh DAP, tetapi mereka hadir atas dasar jemputan. Adakah Razlan cuba mencadangkan bahawa ahli-ahli politik tidak harus menghadiri sebarang majlis hanya kerana alkohol dihidangkan di sana? Jika itulah pendapatnya, ia bermakna menteri-menteri kerajaan juga perlu berhenti menghadiri sebarang majlis diplomatik.

Apapun, Razlan, ramai orang Jerman yang menyambut Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan Muslim mereka. Adakah mereka menghina budaya Jerman? Jelas sekali logik Razlan bahawa menghadiri Oktoberfest adalah tidak menghormati orang Melayu adalah karut dan tidak masuk akal.

Malah, melambangkan orang Melayu sebagai mudah tersentuh dengan apa yang dimakan dan diminum oleh orang lain merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan majoriti kaum Melayu. Hanya kerana Razlan mempunyai fikiran yang sempit, beliau tidak harus menganggap orang lain sama sepertinya.

Razlan juga mengkritik ucapan Nga Kor Ming di twitter yang menggunakan frasa ‘In God we trust’ dan ‘Lord, guide our nation to you.’ Hanya kerana doa-doa ini ditulis dalam bahasa Inggeris, ia tidak secara automatik menjadi doa untuk agama Kristian. Jika ia benar sekalipun, ia sama sekali tidak menghalalkan tindakan Razlan menganjurkan demonstrasi ganas di ibu pejabat DAP. Sepanjang pengetahuan saya, kita masih belum menerima sebarang permohonan maaf untuk kekecohan yang timbul walaupun laporan polis telah dibuat.

Sebagai ketua belia, kejahilan Razlan tentang sistem pilihanraya di Malaysia sangat membimbangkan. Sekiranya beliau tidak tahu, Teluk Intan merupakan kerusi Parlimen. Oleh itu, saya gagal untuk memahami bagaimana dengan bertanding di Teluk Intan, ia akan membolehkan sesiapa saja menjadi calon Menteri Besar di Perak.

Saya juga ingin memaklumkan kepada Razlan bahawa majlis-majlis perbandaran Selangor kini terdiri dari kira-kira 60 peratus ahli majlis Melayu walaupun orang Melayu hanya mewakili 53 peratus dari penduduk Selangor. Sementara itu, majlis perbandaran di Pulau Pinang mewakili penduduk Pulau Pinang mengikut etnik secara berkadar. Ia adalah konsensus Pakatan Harapan untuk mewakili seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan etnik.

Berdasarkan kenyataan dan tindakan Razlan, beliau seolah-olah menganggap Melayu sebagai ‘macai’ yang mudah rasa terhina serta tidak boleh bertoleransi dengan perbezaan etnik dan budaya. Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana beliau mungkin dilatih supaya menjadi ketua ‘macai’, seperti yang dimahukan oleh partinya itu.

Saya menggesa Razlan supaya mempertimbang semula pandangan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu kerana memandang rendah kepada kebijaksanaan mereka. Jika beliau tidak berbuat demikian, beliau tidak layak dipanggil sebagai ‘pemimpin belia’. Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai tidak mungkin bertolak ansur dengan pemimpin yang suka menekankan perpecahan serta menentang perbezaan etnik-agama.

Akhir sekali, saya ingin menjemput beliau untuk ‘like’ dan ‘follow’ halaman portal Roketkini di Facebook supaya beliau dapat mengikuti perkembangan semasa tentang inisiatif parti kita yang merentasi sempadan kaum, gender dan kelas. Razlan perlu tahu bahawa kita tidak mewakili sebarang kaum tertentu, tetapi kita mewakili seluruh Malaysia yang percaya terhadap perjuangan parti bagi membina Malaysia yang bersatu untuk seluruh rakyat Malaysia. – Roketkini.com

*Dyana Sofya merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan serta Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Perak.