Berita

Tiang ada, elektrik tiada: Joseph Kurup diminta usah berdalih selindung kegagalan BN bekal elektrik di pedalaman

PENSIANGAN, 27 DIS: Penafian Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup terhadap isu ‘tiang ada, elektrik tiada’ melibatkan beberapa buah kampung di sini tersasar daripada fakta sebenar.

Penafian menteri persekutuan itu juga tidak dapat menolak hakikat bahawa penduduk di kawasan terbabit sedang mengalami masalah bekalan elektrik.

Menurut penyelaras DAP Sook, Pensiangan, Clare Taunek Simbat, berdasarkan temubual dengan pegawai SESB sendiri, masalah tersebut berlaku akibat kegagalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyerahkan projek tersebut gagal diserahkan kepada pihak SESB.

Clare Taunek Simbat, Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Sabah, penyelaras DAP Sook, Pensiangan

“Sudah hampir 10 tahun tiang dan kabel dipasang tetapi kerana kegagalan penyerahan projek tersebut menyebabkan tiada bekalan eletrik. Inilah isu yang dipersoalkan oleh DAP,” tegas Clare dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan balas Kurup dalam laporan New Sabah Times, 24 Disember lalu yang mendakwa pendedahan DAP terhadap sembilan buah kampung yang terpaksa bergelap akibat ketiadaan elektrik adalah satu pembohongan.

Menegaskan kenyataannya, Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Sabah itu berkata, adalah tidak benar sama sekali DAP menabur fitnah dan pembohongan sebagaimana yang didakwa.

Ini kerana setiap isu yang dikemukakan jelasnya adalah berdasarkan fakta hasil daripada siasatan dan temubual dengan mereka yang tinggal di kawasan tersebut.

“Di dalam pendedahan kami ada disebutkan lokasi dan keadaan semasa ketika itu. Saya sarankan kepada pihak yang berkenaan untuk datang dan meninjau sendiri di lokasi yang terlibat,” tegasnya.

Jelasnya, beliau amat memahami prosedur dan beberapa isu teknikal yang berada diluar jangkauan seperti yang berlaku dalam isu ini.

Namun, ia tidak boleh menolak hakikatnya ia merupakan bukti kelembapan dan kegagalan pihak kerajaan menyelesaikan keperluan asas rakyat.

“Selain daripada masalah kerja-kerja pembesaran jalanraya Ansip, menyerahkan projek tersebut kepada SESB menyebabkan bekalan eletrik tidak dapat dibekalkan kepada seluruh kawasan yang terlibat sehingga kehari ini walaupun kerja-kerja pendawaian sudah pun siap sepenuhnya,” katanya.

Clare turut menempelak tindakan menteri berkenaan yang telah memburukkan imej Pengerusi DAP Sabah Stephew Wong Tien Fatt yang pernah menyuarakan isu terbabit di Parlimen.

“Tan Sri jelas mempertikaikan kredibiliti Stephen Wong yang nyata lebih mengambil berat kebajikan rakyat malah telah beberapa kali meluangkan masa untuk bersama rakyat dikawasan Pensiangan untuk meninjau sendiri keperluan dan masalah rakyat.

“Saya memahami jika kenyataan balas Tan Sri bertujuan untuk memperkecilkan kemampuan DAP sebagai sebuah jentera parti yang dilabelkan sebagai ‘parti Malaya’.

“Sebagai sebuah parti yang sudah berusia 50 tahun dan makin kukuh, DAP telah lama bersama-sama membantu rakyat diseluruh negara mengikut kemampuan dan kapasiti parti termasuk memperkasakan hak rakyat Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau berpendapat, kennyataan Ahli Parlimen Pensiangan itu terhadap pemimpin DAP hanyalah sekadar putar belit untuk menjaga kepentingan peribadi dan kedudukan partinya. -Roketkini.com