Berita

Pakatan Harapan-PPBM serah memorandum bantah sekatan Trump

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Ratusan penyokong mengiringi pemimpin Pakatan Harapan-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) menyerahkan memorandum bantahan ke atas perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perintah yang dikeluarkan sejak minggu lalu itu menyaksikan larangan masuk yang dikuatkuasakan negara berkenaan terhadap rakyat dari tujuh negara yang majoritinya beragama Islam.

Orang ramai yang berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak dekat sini hari ini kemudiannya berarak sejauh 600 meter ke Kedutaan AS sambil melaungkan slogan “No Ban, No Wall” dan mengangkat pelbagai sepanduk.

#NoMuslimBan #NoWallNoBan

Turut kelihatan, anak mantan Perdana Menteri, Marina Tun Mahathir Mohamed, penyokong Parti Pribumi Perkasa (PERKASA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ahli Parlimen DAP dari kawasan Petaling Jaya Utara, Tony Pua ketika ditemui pemberita berkata, dasar tidak demokratik yang dilaksanakan Trump itu bukan sahaja dilihat dunia sebagai diskriminasi terhadap umat Islam, malahan kemanusiaan secara keseluruhannya.

“Mengapakah Najib sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1MDB?” – Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Namun, dalam kemarahan masyarakat dunia terhadap langkah sekatan itu, katanya, sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga kini menimbulkan tanda tanya.

“Mengapakah Najib sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1MDB?” soalnya.

Pemimpin utama lain yang turut serta dalam perhimpunan berkenaan adalah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohammad Sabu dan Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Trump, pada Jumaat lepas, menguatkuasakan sekatan masuk 90 hari ke atas rakyat Iraq, Iran, Somalia, Syria, Libya dan Sudan dengan alasan untuk membendung “keganasan Islamis radikal”, malah turut menggantung program pelarian selama 120 hari.

Memorandum yang diserahkan Adun DAP Kawasan Pasir Pinji, Howard Lee kepada wakil Kedutaan AS itu antara lain menuntut agar arahan sekatan itu ditarik balik serta mengesa supaya AS menghormati Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. – Roketkini.com