Berita

Sabah: PBRS cari publisiti murahan tuduh ahli DAP keluar parti

PENSIANGAN, 18 FEB: DAP Pensiangan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya wujud 40 ahli di kawasan Tulid yang keluar parti dan menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pengerusi DAP Tulid, Robinson Rusikan berkata dakwaan palsu itu sengaja dibuat agar PBRS mendapat publisiti murahan, sekaligus cuba menutup kegagalan parti itu dalam menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Manakala Dirim Jaikul, individu yang didakwa sebagai ketua kepada 40 ahli yang keluar parti itu pula mempunyai isu peribadi dengan ahli-ahli DAP Pensiangan yang lain sebelum ini.

“Dirim dulu pernah terlibat dalam Jawatankuasa Protem DAP Sook,tapi digugurkan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

“Beliau kemudiannya digantikan dengan ahli lain yang lebih muda dan dinamik sehingga beliau kecewa dan bertindak keluar dari parti.

“Personaliti oportunis tanpa kredibiliti seperti ini tidak ada tempat dalam DAP,” tegasnya.

Robinson menambah, Dirim perlu memberi bukti kukuh jika benar terdapat 40 ahli DAP yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai PBRS.

“Kita mahu mereka tunjuk nombor keahlian 40 orang yang didakwa keluar parti itu. Jika tak dapat tunjuk, maknanya ia hanya satu cerita bohong,” ujarnya. – Roketkini.com