Berita

MB Johor main muslihat licik menjelang PRU?

JOHOR BAHRU, 20 FEB: Semakin hampir pilihan raya umum (PRU), semakin banyak cerita pelik melibatkan muslihat licik UMNO-Barisan Nasional (BN) menggunakan agensi kerajaan di bawah kawalannya untuk memastikan kemenangan mereka.

Terbaru, DAP Johor melalui hasil siasatan dan tinjauan mendapati Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin didaftarkan sebagai pemilih menggunakan alamat rumah kedai bersama-sama seorang anaknya dan 12 lagi individu yang lain.

Mereka didaftarkan di bawah alamat ibu pejabat UMNO bahagian Pasir Gudang, Jalan Tembusu 1, Taman Rinting, Masai dan didedahkan Adun Mengkibol, Tan Hong Pin, selepas menyemak senarai daftar pemilih bagi suku keempat 2016 yang sedang dipamerkan sehingga hari ini.

Katanya, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa rumah kedai untuk tujuan perniagaan ataupun urusan pejabat tidak boleh dijadikan alamat kekal ataupun alamat pendaftaran pemilih kecuali seseorang itu memang mendiami premis tersebut.

Antara premis yang dimiliki UMNO Bahagian Pasir Gudang

“Menjelang PRU-14, mainan dan muslihat politik kotor BN akan semakin rancak dan keji. Cuma saya tidak jangka ia boleh berlaku begitu terang-terangan di kawasan menteri besar sendiri, malah melibatkan diri beliau sendiri.

“Saya meminta Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin tampil segera memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghantar borang bantahan berhubung perkara berkenaan ke Pejabat SPR Johor di sini, semalam.

Ia antara ratusan pemilih mencurigakan yang didedahkan Hong Pin yang juga Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).

Katanya, corak pendaftaran pemilih mencurigakan ini didapati kerap timbul di kawasan DUN di mana BN kalah tipis dalam PRU yang lalu dan terletak secara spesifik di dalam Parlimen Gelang Patah, Kluang, Segamat dan Pasir Gudang.

“Contohnya, di Parlimen Gelang Patah dan Kluang, semua kes yang bermasalah berpunca dari DUN Nusajaya dan Mahkota di mana BN menang tipis pada 2013.

“Di DUN Skudai dan Mengkibol di mana BN kalah teruk tidak ada pun kes-kes seumpamanya timbul,” katanya.

Ia, dakwanya, dilaksanakan secara licik oleh BN dengan terdapat usaha meningkatkan jumlah pemilih di alamat di dalam kawasan DUN berkenaan, sama ada melalui pendaftaran pemilih baru atau pertukaran alamat pemilih.

“Kes-kes yang dibangkitkan di atas mengesahkan bahawa ketelusan dan integriti daftar pemilih Malaysia mempunyai banyak kecacatan.

“Meskipun demikian, Pakatan Harapan akan terus bekerja mempertahankan hak setiap orang pemilih dan bekerjasama dengan SPR untuk membuat penambahbaikan dalam sistem pilihan raya kita,” ujarnya. – Roketkini.com