Berita

Enggan warta pelan bandaraya KL, Ku Nan lebihkan pemaju atau warga kota?

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Setelah dua kali penangguhan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor masih enggan mewartakan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang sepatutnya dilaksanakan hampir enam tahun lepas.

Hal ini mengejutkan ramai pihak, terutama penduduk ibu kota yang kemudiannya meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli-ahli parlimen pembangkang di kawasan Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata pelan berkenaan telah mengalami proses panjang  dan menelan belanja yang banyak, justeru ia tidak patut diabaikan oleh Ku Nan.

“Kerajaan hantar delegasi ke serata bandar di seluruh dunia, Melbourne, Sydney, untuk mengkaji pembangunan bandar lestari. Beratus simposium dan seminar diadakan. Semua ini menggunakan duit cukai yang dibayar rakyat.

“Kita habiskan masa berjam-jam meneliti pelan tersebut, berulang kali menggesa ia diwartakan sejak hampir sedekad lepas. Dan kini dengan hanya tinggal dua tahun lagi, Ku Nan tak mahu laksanakan?” soalnya dalam sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan itu, pelan baru amat penting bagi memastikan pembangunan yang telus dan lestari dapat dicapai, lebih-lebih lagi perancangan Kuala Lumpur masih menggunakan pelan berusia hampir 30 tahun yang tidak lagi relevan.

Ahli Parlimen Cheras merangkap Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai. Foto oleh Ahmad Yusufi

“Kita perlukan pengurusan dan kawalan perancangan yang teratur, barulah tidak akan wujud salah guna kuasa oleh pihak tertentu. Tapi hari ini kita lihat, ada banyak salah guna.

“Sejak Ku Nan jadi Menteri Wilayah, terlalu banyak tanah yang dibangunkan secara mendadak tanpa mengambil kira pendapat penduduk. Rakyat berasa tertipu apabila dia bertindak mengabaikan pelan itu,” ujarnya.

Berkongsi pendapat yang sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut hadir di sidang media itu berkata setiap pembangunan kota mestilah mempunyai sistem dan garis panduan agar ia tidak hanya menguntungkan pemaju.

“Kita nampak sekarang ini ada usaha melebihkan keuntungan dan kemahuan pemaju berbanding warga kota. Sudahlah kualiti hidup penduduk Kuala Lumpur hari ini rendah.

“Sebab itulah kita perlukan satu sistem. Ku Nan seperti diktator di Kuala Lumpur. Hampir 90 peratus bantahan tak diambil serius. Sebagai menteri, dia harus hormati undang-undang,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli pula memberi jaminan bahawa pemimpin Pakatan Harapan akan terus membangkitkan isu itu, termasuk di sidang parlimen yang akan berlangsung pada Mac nanti.

“Kita akan desak kerajaan ambil tindakan ke atas Ku Nan. Apa yang dia buat ini tak berasas sama sekali. Pembangunan di ibu kota terlalu melampau, sehingga habis kawasan hijau dimusnahkan.

“Ku Nan harus meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Dia kerap mengeluarkan kenyataan tidak bijak, malah tidak peduli pun tentang kehendak sebenar warga Kuala Lumpur,” ujarnya.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Kee Kwong.

Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dilancarkan pada Mei 2008 dan dijadualkan untuk diwarta pada 1 Julai 2012. Namun, ia ditangguhkan buat kali kedua kepada 28 Februari 2013.

Bagaimanapun, Ku Nan dilaporkan berkata tidak akan menandatangani pewartaan pelan itu kerana kononnya wujud ruang untuk penyelewengan. – Roketkini.com