Berita

Tangguh 3 kali, RUU355 skrip terancang UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 7 APR: Drama Rang Undang-undang (RUU) 355 yang berlangsung di Dewan Rakyat semalam didakwa mengikut skrip yang ditulis secara terancang oleh UMNO bersama-sama pengikut barunya, PAS.

Malah, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada sesi mesyuarat itu adalah untuk memastikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengikut skrip yang telah disediakan.

Jalan cerita itu, jelas Kit Siang, diatur supaya Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat membentangkan usul persendiriannya itu untuk kali ketiga tanpa melepasi sesi perbahasan melibatkan pembangkang serta proses pengundian belah bahagi.

“Inilah sebab mengapa mesyuarat Dewan Rakyat pada Rabu berlarutan sehingga 5.05 pagi keesokannya selama hampir 20 jam, dan lima RUU kerajaan dikeluarkan (dari aturan mesyuarat).

“Ia sebenarnya dibuat bagi mengosongkan agenda Dewan Rakyat pada Khamis untuk memberi laluan kepada satu perkara, hanya satu perkara, iaitu usul persendirian Hadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dakwaan itu, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, diperkuatkan lagi dengan pengakuan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan UMNO tahu mengenai perancangan yang diatur parti Melayu itu dan PAS.

“Subramaniam berkata keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional, adalah untuk membenarkan PAS membentangkan hujah mereka berhubung usul Hadi tetapi tidak akan ada perbahasan atau pengundian.

“Justeru, adakah Hadi mempergunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO, ataupun sebenarnya Najib yang mempergunakan Hadi (dalam hal ini)?” soalnya.

Pandikar bersandiwara tentang ketuanan Parlimen, padahal ikut telunjuk UMNO

Parlimen semalam menyaksikan buat kali ketiga, usul persendirian Hadi bagi meminda Akta 355 itu dibentangkan di Dewan Rakyat dan akhirnya mendapat sokongan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang memberi hujah panjang lebar mengenai usul tersebut.

Berbeza dengan dua penangguhan sebelum ini yang ditangguhkan oleh Hadi sendiri selaku pembawa usul, pembentangan kali ini ditangguhkan oleh Pandikar dengan kuasa yang kononnya didakwa ada padanya untuk berbuat demikian.

“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang – if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool.

“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (usul meminda Akta 355 dibawa hari ini) diadakan pada sesi akan datang,” kata Pandikar ketika membuat keputusan itu.

Namun, menurut Kit Siang, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan peraturannya sendiri atau berlagak bahawa dia mempunyai kuasa yang sebenarnya tidak diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Speaker Parlimen tidak boleh jadi seorang diktator dan semua dakwaan Speaker semalam mengenai ketuanan Parlimen hanyalah untuk mengaburi mata, kerana realitinya, Speaker mengikut telunjuk Eksekutif (yang diketuai UMNO),” katanya. – Roketkini.com.