Berita

Ismail Sabri ‘kepanasan’ kerusi Parlimen Bera goyang

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Kritikan pedas menteri UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terdesak sehingga terpaksa bergantung kepada DAP akhirnya mendedahkan kelemahan di kawasan yang diwakilinya sendiri, Parlimen Bera.

Kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, menteri UMNO itu ‘kepanasan’ setelah ramai ahli UMNO khususnya di kawasannya telah beralik sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah, gelombang kesedaran politik di kalangan warga FELDA katanya bukan sahaja tertumpu di Bera tetapi juga di seluruh negara khususnya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Parlimen Bera kini di anggap panas apbila ramai ahli UMNO dan orang Melayu di FELDA beralih menyokong PPBM yang dilihat lebih releven daripada UMNO.

“Jika pengaruh Dr Mahathir berjaya menarik minat orang Melayu di FELDA, apa lagi yang UMNO tinggal? Mungkin nanti hanya tinggal tali barut dan kaki ampu yang hanya harapankan dedak politik,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Menurut beliau, dakwaan kononnya Tun Mahathir terdesak itu adalah amat ironi dan sebenarnya menggambarkan keterdesakan UMNO.

“Mereka nampaknya terpaksa mainkan sentimen kaum dengan memburuk-burukan DAP bagi menghalang orang Melayu khususnya ahli UMNO menyokong Pakatan Harapan khususnya PPBM,” ujarnya.

Dalam laporan Bernama 7 Mei lalu bertajuk ‘Tun M terdesak untuk bergantung kepada DAP – Ismail Sabri’ , menteri itu turut mendakwa Dr Mahathir telah membuat pusingan U apabila bekerjasama dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang sering mengkritik kepimpinannya dahulu.

Mengulas hal ini, ADUN Mentakab itu menjelaskan kerjasama Tun Dr Mahathir dengan gabungan pembangkang khususnya DAP tidak wajar menjadi persoalan besar.

Lebih-lebih lagi apabila negarawan itu sendiri akhirnya menyedari bahawa DAP bukanlah parti perkauman seperti yang sering didakwa sebelum ini.

Sebaliknya MCA adalah parti perkauman yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum Cina.

“Dalam politik semuanya tidak kekal, hari ini mungkin musuh esok mungkin kawan, begitu juga mungkin hari ini kawan dan mungkin esok jadi musuh.

“Kita sepatutnya bersyukur dalam waktu begini, Tun Mahathir masih komited dan mahu membetulkan kesilapan lampau,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu.

Dalam perkara berkaitan, Tengku Zulpuri berkata UMNO telah gagal memperjuangkan nasib rakyat Malaysia tetapi memperjuangkan nasib dan kepentingan ‘UMNOputra’ dan kroni mereka.

Ia jelas terbukti apabila rakyat semakin tertekan dan terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan suhu ekonomi negara yang tidak menentu.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak kita sudah menjadi negara kleptokrasi global akibat skandal puluhan billion 1MDB yang masih belum selesai.

“UMNO juga dilihat sebagai parti untuk mereka yang gila kuasa, golongan yang terdesak untuk kekalkan kuasa demi kepentingan peribadi. UMNO-BN juga gagal menjaga kepentingan ekonomi rakyat, tidak mempedulikan kaum minoriti seperti Orang Asli, gagal memulihara alam sekitar dan banyak lagi,” katanya. -Roketkini.com