Berita

MP Sandakan baharu zahir penghargaan atas kunjungan Menteri Kewangan

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong menzahirkan penghargaan di atas kunjungan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Sandakan baru-baru ini.

Beliau juga mengakui berasa bangga dan terharu dengan kedatangan Guan Eng yang membawa beberapa khabar gembira buat warga Sandakan.

Selain sumbangan berjumlah RM130,000 untuk badan agama, katanya, Guan Eng juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta untuk menaik taraf Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Beliau difahamkan, RM7.4 juta daripada peruntukan tersebut akan digunakan menggantikan alat perubatan dan kelengkapan hospital yang rosak serta pembelian peralatan hospital, manakala RM3.4 juta lagi untuk pembinaan bangunan rekod perubatan dan klinik telinga-hidung-tekak (ENT) yang baharu.

“Saya akan menjalankan tugas untuk memastikan segala peruntukkan disalurkan kepada badan ditetapkan.

“Sebelum YB Lim Guan Eng berlepas ke lapangan terbang beliau juga mengambil kesempatan untuk mengunjungi Pasar Elopura untuk berterima kasih kepada pengundi kerana sudi memilih calon Pakatan Harapan.

“Beliau merupakan seorang model pemimpin contoh yang saya akan ikuti,” katanya kepada Roketkini.

Vivian memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti lebih besar.

Vivian, 30, anak kepada penyandang kerusi parlimen itu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, serta tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, Chia Siew Yung, 46,  dan Sulaiman Samat, 36.

Vivian memperoleh 16,012 undi, Linda yang juga Ketua Bahagian PBS Elopura mendapat 4,491 undi manakala Hamzah (788 undi), Siew Yung (178 undi) dan Sulaiman (126 undi). – Roketkini.com