Berita

MP DAP tunjuk minat mendalam terhadap budaya, sastera Melayu

Pemimpin DAP, Steven Sim berkongsi rasa bertuah kerana dapat mengikuti syarahan berkenaan busana tradisional Melayu yang disampaikan budayawati, Prof Dr Siti Zainon Ismail di ibu negara, semalam. 

Steven menyifatkan Dr Siti Zainon yang baharu sahaja dinobotkan gelaran Sasterawan Negara ke-14 awal bulan ini sebagai seniman yang mempunyai ilmu yang begitu tinggi dalam hal kebudayaan dan sastera.

“Beliau berbicara tentang busana tradisional Melayu. Begitu banyak budaya dan sejarah (serta falsafah dan politik) dalam pakaian. 

“Ilmu budaya dan sastera beliau begitu tinggi. Saya lihat kitab Sulalatus Salatinnya (Sejarah Melayu) pun robek dilekat sini sana dengan scotchtape. Selayak jadi Sasterawan Negara,” ciap Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu di Twitter.  

“Terasa segan pula apabila Kak Siti (Dr Siti Zainon) menggelar saya sebagai ‘penyair’ bila kami berdua diperkenalkan,” kata penulis buku kompilasi sajak ‘Dalam Salju Ada Bunga’ itu. 

Dr Siti Zainon dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 3 September lalu. 

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan Dr Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Dr Siti Zainon, 69, telah menghasilkan tiga karya novel; kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).

Selain itu, beliau turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku – bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog (21). – Roketkini.com