Berita

Kerajaan Persekutuan perlu tunjuk kepimpinan tangani Covid-19

Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan politik dalam menangani penularan wabak Covid-19 di Sabah, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.

Keputusan tegas dalam menangani pandemik itu, katanya, bukan sahaja akan mempengaruhi negeri Sabah, malah memberi kesan di peringkat nasional.

Malah, katanya, tindakan kerajaan Sabah yang dilihat masih tidak melantik Menteri Kesihatan seolah-olah meremehkan kepentingan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Ia juga, katanya, menyebabkan kelompongan dalam kepemimpinan terutama ketika mereka gagal meletakkan individu yang jelas untuk mentadbir negeri Sabah.

“Saya menyeru kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk campur tangan dan terus memberi maklum balas berkenaan wabak tersebut di negeri Sabah,” Tegas Kelvin dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar dua Timbalan Menteri Kesihatan ditempatkan di Sabah untuk bekerjasama dengan Pengarah Kesihatan Negeri dan kepemimpinan negeri sehingga wabak itu dapat ditangani.

Secara tidak langsung, katanya, ini dapat menunjukkan keprihatinan dan kepemimpinan Kerajaan Persekutuan terhadap kesihatan rakyat Sabah.

“Saya setuju perlunya masyarakat yang tetap tenang, tetapi cara terbaik untuk meyakinkan masyarakat adalah mengatasi jurang dalam polisi dan memastikan masyarakat dekat dengan perlindungan kesihatan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian tentang kisah petugas barisan hadapan yang membangkitkan isu katil hospital yang penuh dengan pesakit Covid-19, malah ada antara rakan sekerja mereka dijangkiti wabak itu.

Katanya lagi, sistem kesihatan awam di Sabah berdepan risiko dibanjiri pesakit Covid-19 ekoran gelombang baru wabak itu.

“Inilah sebabnya kepemimpinan yang kukuh sangat diperlukan kerana apa yang berlaku di Sabah juga mempengaruhi kita di Sarawak, dan di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Semalam, Sabah mencatatkan kes baru tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 429 kes. — Roketkini.com