Berita, Rencana

DAP terus cakna kebajikan masyarakat setempat

DAP terus aktif menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Usaha itu dipertingkatkan lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, wakil-wakil parti aktif menyampaikan bantuan dalam usaha meringankan beban golongan yang memerlukan.

Pusat Komuniti Adun Senai antaranya, baru-baru ini telah mengedarkan sayur kepada penduduk yang terjejas.

Pembantu Khas Adun Senai, Marina Ibrahim berkata, ada antara mereka yang mengadu sudah tiada bahan untuk dimasak lagi di rumah.

“Sayur tadi akan diagih-agihkan kepada penduduk flat yang memerlukan. Sempat juga berikan juga sumbangan pampers dan juga susu buat keluarga yang memerlukan,” katanya dipetik di laman Facebook.

Dalam pada itu di Sabah, Pusat Khidmat Elopura terus berkhidmat membantu penduduk setempat dengan menghantar bantuan makanan kepada kawasan Flat International dan Flat Telekom Quarters.

Sementara itu, Pusat Khidmat DAP bersama Amanah Kepong menjalankan pengedaran pelitup muka percuma kepada masyarakat setempat dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

“Kami harap adanya pelitup muka percuma ni, dapatlah kami ringankan beban orang ramai. Kita kena ingat untuk sentiasa patuh SOP (prosedur operasi standard),” jelas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di laman Facebook baru-baru ini. — Roketkini.com