Berita, Rencana

Andai PH pulang ke Putrajaya sebelum PRU-15

Oleh Shahrul Shahabudin

(Naib Setiausaha DAP Kubu)

Gelora, badai, taufan dan banjir meliputi tanah air kita Malaysia tercinta sama ada dari sudut fizikalnya iaitu banjir besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia seperti Johor dan Pahang ataupun dari sudut abstrak melibatkan penularan wabak Covid-19 yang sudah melebihi angka 3,000 kes harian selain daripada gelora, badai dan taufan politik Malaysia yang terus menerus membelasah kita sejak Februari 2020.

Pada hari ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya menghitung hari untuk benar-benar terbelah. Perseteruan antara Umno dan Bersatu sudah begitu teruk dan bukan sekadar bermain tarik tali bagi mengekalkan status quo parti pemerintah semata-mata. Ahli Parlimen Machang baru-baru ini mengumumkan menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menjadikan jumlah ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri sedia ada hanya tinggal 110 orang sahaja. Jumlah sokongan makin tipis dari hari ke hari, peluh di dahi abah kian pantas mengalir.

Walaupun situasi berubah menjadi segetir hari ini, persoalan bagi menjawab sama ada perubahan tampuk kepimpinan negara bakal menjelma juga lebih sukar untuk dijawab seperti apa yang dikatakan oleh Wong Chin Huat yang menyifatkan kedudukan Muhyiddin Yassin masih lagi boleh bertahan disebabkan oleh tiadanya penyatuan dalam kalangan blok pembangkang.

Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempunyai 91 kerusi. Perkelahian berterusan antara Pengerusi PH itu dengan Tun Dr Mahathir yang mempunyai 5 buah kerusi juga menyukarkan peluang Pakatan Harapan untuk pulang ke Putrajaya sesegera yang mungkin. 

Seandainya, dua tokoh ini dapat kembali ‘bermesraan’, Pakatan Harapan hanya dapat memperolehi 108 kerusi. Masih lagi kurang 3-4 kerusi bagi membentuk kerajaan. Justeru itu, sokongan daripada ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan amat diperlukan oleh Pakatan Harapan buat masa ini bagi memastikan Pakatan Harapan dapat kembali ke Putrajaya. 

Sekiranya jual beli sokongan ini dapat diselesaikan, kerumitan yang sebenarnya masih lagi tidak akan dapat terurai. Mungkin magis yang diperlukan hanya mencukupi untuk menggenapkan jumlah nombor namun mantra yang diguna pakai belum tentu dapat diterjemahkan dalam bentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Oleh yang demikian, jika angka 112 dapat dijelmakan dalam masa terdekat ini, adakah ianya dapat menjamin sebuah kerajaan yang kuat, hebat dan meyakinkan bagi mengurus Malaysia yang amat memerlukan sebuah kerajaan yang dapat memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal sesempurna mungkin manakala ekonomi pula dapat dibina semula dengan penawaran peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal? 

Apa yang kita boleh belajar daripada kemelut politik yang direncana oleh PN pada hari ini sudah semestinya lebih mudah untuk membentuk kerajaan berbanding menjadi sebuah kerajaan yang benar-benar dapat mengurus tadbir negara dengan cemerlang pada saat ini. Jadi bagaimana PH dapat memastikan senario sama tidak berulang malahan menjadi lebih baik daripada pemerintahan PH sepanjang 22 bulan selepas PRU ke-14. 

Sehingga ke saat ini, PH masih lagi tidak membentuk kabinet bayangan yang menawarkan suatu bentuk jawapan kepada kemelut yang ada pada hari ini. Sehubungan dengan itu, adakah kabinet yang dapat dibentuk oleh PH usai pulang ke Putrajaya juga seperti PN, tidak lebih hanya sebagai usaha mengekalkan sokongan politik kepada Perdana Menteri? Jika itulah senarionya, maka PH akan terus bergelumang dengan masalah ketidaktentuan dan tidak akan wujudnya sebarang kestabilan dalam pemerintahan. 

Sejajar dengan itu, sesiapa sahaja yang bakal mengepalai PH bagi menawan semula Putrajaya sebelum PRU-15 perlu membina sebuah kabinet yang benar-benar dapat menjalankan peranan masing-masing sebaik mungkin selain daripada dapat menjanjikan kestabilan sehingga PRU-15. 

Menteri-menteri yang dilantik perlulah benar-benar berkebolehan dan bukan dilantik semata-mata bagi mengekalkan kesetiaan kepada Perdana Menteri atau berdasarkan status hierarki parti. Mantan menteri kerajaan PH yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang seperti Anthony Loke, Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution dan ramai lagi perlu diberikan keutamaan serta peranan utama dalam kabinet baru itu nanti. Hal ini bagi memastikan tugas yang akan dijalankan mereka kelak dapat merawat kesakitan yang berpunca daripada virus-virus daripada kerajaan hari ini. 

Selain itu ahli-ahli Parlimen backbencher yang tidak dilantik dalam kabinet PH sebelum ini juga turut boleh dipertimbangkan bagi menawarkan nafas baharu dalam pemerintahan sesi kedua kerajaan Pakatan Harapan. 

Oleh yang demikian, jika kabinet yang bakal dibentuk usai kepulangan PH ke Putrajaya nanti belum tentu benar-benar dapat menawarkan ‘vaksin’ yang diperlukan oleh Malaysia, maka situasi yang bakal dihadapi ini tidak akan menguntungkan PH dan sudah semestinya rakyat juga akan lari jauh daripada menyokong PH pada PRU yang akan datang.

Mungkin pada hari ini sesetengah pimpinan utama PH sudah membayangkan kepulangan semula PH ke Putrajaya jika ‘jampi’ yang dibaca dapat menjelmakan angka 112, namun persoalannya adakah jampi atau mantra yang dibaca itu cukup kuat, hebat dan meyakinkan bagi menjamin sebuah kerajaan yang kuat dan stabil? Jika tidak, permainan political chair akan terus berlangsung kerana muzik yang dimainkan tidak akan pernah berhenti sehinggalah PRU-15 kelak. Negara pula akan terus porak-peranda dan rakyat pula akan terus hidup dalam penderitaan yang amat menyakitkan.

Jaminan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil ini tidak boleh lagi sekadar menjadi omongan kosong namun perlu benar-benar dijelmakan. Jika tidak lebih baik kita kukuhkan semula PH dan bersiap-sedia menghadapi PRU-15 yang akan datang. Kerana dengan kemenangan yang lebih besar pada PRU-15 sahaja akan dapat menjamin sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi memacu Malaysia ke arah yang cemerlang. 

Akhir sekali, mungkin mudah untuk membentuk sebuah kerajaan, andai cukup nombornya maka terciptalah sebuah kerajaan namun belum tentu kekuatan dan kestabilan kerajaan dapat dibina daripada nombor-nombor tersebut. — Roketkini.com