Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Dulu Parlimen boleh berfungsi walau ada 4 proklamasi darurat, kenapa sekarang tidak?

Oleh B. Suffian

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta membenarkan Parlimen untuk bersidang semula pada 8 Mac depan seperti yang dijadualkan, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, ini memandangkan Parlimen telah terus berfungsi sepanjang tempoh 35 tahun dengan empat orang Perdana Menteri di antara 1977 sehingga 2012 walaupun terdapat empat proklamasi darurat serentak dalam tempoh tersebut. 

“Seperti yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim, adakah penggantungan fungsi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ini membantu usaha melawan Covid-19?

“Adakah Muhyiddin telah lupa, semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor daripada tahun 1986 sehingga tahun 1995, terdapat pelbagai proklamasi darurat, dan semasa hari beliau di dalam Kabinet di antara tahun 1995 sehingga 2015 (malah semasa beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri daripada tahun 2009 sehingga 2015 sekali pun), terdapat empat perisytiharan darurat yang berkuat kuasa dalam negara sehingga 2012?” soal veteran DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dalam perutusan khas daruratnya sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

BACA kenyataan penuh Kit Siang di sini.