Berita

Segera umum SOP untuk calon SPM, STPM – Rajiv

Oleh Zamzani Husin

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran menggesa kerajaan segera mengumumkan SOP bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ini selepas calon-calon SPM di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dekat Lipis dikuarantin ekoran seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19, pada sesi pertama persekolahan, semalam. 

“Adakah pelajar yang disahkan positif Covid-19 dan mereka yang dikuarantin akan dibenarkan untuk menduduki SPM? Sekiranya ya, bagaimana? 

“Kementerian Pendidikan mesti memberikan jawapan yang tuntas untuk semua persoalan ini dan lain-lain persoalan berbangkit,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau bagaimanapun memuji tindakan proaktif Kerajaan Negeri Sabah yang melakukan saringan wajib terhadap pelajar yang kembali ke asrama. 

Susulan langkah tersebut, katanya, 36 pelajar telah dikesan dijangkiti wabak tersebut dan ditempatkan di pusat kuarantin sebelum bermula sesi persekolahan. 

Dalam pada itu, Rajiv turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menampung kos saringan 400,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. 

Memetik laporan media katanya, terdapat rungutan daripada pelajar yang diarahkan oleh pihak sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)  membuat saringan dengan kos ditanggung sendiri.

“Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), bernilai RM15 bilion. 

“Sekiranya benar bahawa keutamaan pakej ini adalah ‘melindungi rakyat’ dan ‘memerangi wabak Covid-19’, maka di manakah peruntukan untuk melindungi anak-anak kita di sekolah? 

“Sudah tentu peruntukan RM35.4 juta untuk membina tiga balai raya di Johor dapat dibelanjakan dengan lebih baik untuk memastikan keselamatan anak-anak kita,” tegasnya.

Muhyiddin sebelum ini dikritik kerana meluluskan pembinaan tiga dewan komuniti bernilai RM35.4 juta di kawasan Parlimennya di Pagoh ketika negara berdepan cabaran ekonomi akibat Covid-19. — Roketkini.com