Berita, Isu Semasa

Terharu terima hadiah Tahun Baru Cina

“Saya anggap ini hadiah Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.” luah warga emas, Woon Kiew @ Wong Yoon Sang,78.

Rumahnya yang uzur dan mengalami kerosakan atap di Kampung Chennah, Titi Jelebu telah dibaiki secara gotong royong oleh sukarelawan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, lapor Utusan Malaysia.

Pengerusi MPKK Kampung Chennah, Rosmadi Arif dilaporkan berkata, pihak MPKK sebelum ini telah berjumpa dengan Majlis Daerah Jelebu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, dengan peruntukan RM10,000 pihaknya menyiapkan rumah tersebut selama seminggu.

Tambah Rosmadi, selain atap, pihaknya turut membuat empat unit tingkap serta mengecat rumah Yoon Sang.

Rosmadi berkata, terdahulu, pihaknya mendapat maklumat bahawa Yoon Sang memerlukan sumbangan untuk membaiki atap pada bulan Oktober tahun lalu. 

“Apabila berlaku ribut baru-baru ini, saya melihat dia naik sendiri untuk membaiki atap, bayangkan dia dah sudah tua dan mempunyai masalah kaki. 

“Lantas, saya mengumpulkan tujuh orang sukarelawan kampung secara bergotong-royong untuk membaiki rumah berkenaan,” katanya. Roketkini.com