Berita

DAP, Amanah, MUDA rakan strategik hadapi PRN Johor

Oleh Wartawan Roketkini

DAP, Amanah dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya.

Ini selepas parti-parti tersebut mencapai persetujuan dalam rundingan untuk pengagihan kerusi hari ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Persetujuan itu serasi dengan prinsip ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Persetujuan melibatkan tiga matlamat utama itu merangkumi:

  1. Memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon DAP, Amanah dan MUDA di setiap kawasan.
  2. Menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera Amanah, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon.
  3. Bersama-sama menubuhkan Kerajaan Negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka.

“Pimpinan Amanah, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras dengan agenda ‘Johor Bangkit’ agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan,” kata ketiga-tiga parti dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kenyataan itu menambah, rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN tersebut.

Ujarnya, rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti.

Jelasnya, kesepakatan antara DAP, Amanah dan MUDA adalah bahawa MUDA akan bertanding di kerusi yang berikut:

  1. N.5 Tenang
  2. N.7 Bukit Kepong
  3. N.22 Parit Raja
  4. N.26 Machap
  5. N.41 Puteri Wangsa
  6. N.50 Bukit Permai