KUALA LUMPUR, 13 FEBRUARI: Kerajaan BN sekali lagi menunjukkan sikap tidak bertolak ansur kepada kebebasan media, apabila melarang stesen radio Business FM (BFM) menyiarkan wawancara bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wawancara berhubung ‘Langkah Kajang’ itu sepatutnya disiarkan dalam slot ‘Evening Edition’ radio itu.
Namun BFM menerima arahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak menyiarkan wawancara itu, lapor Malaysiakini semalam.
Sebelum ini, stesen radio itu turut pernah dilarang menyiarkan wawancaranya bersama Irshad Manji, penulis buku ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ – buku yang diharamkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2012.
BFM menumpukan siarannya kepada penduduk Lembah Klang dan sekitar, dan pada tahun lalu, dilaporkan 23 peratus sahamnya dibeli The Edge Communications Sdn Bhd – juga pemilik FZ Daily, yang baru sahaja ditarik permit penerbitannya awal bulan ini sebelum sempat menerbitkan keluaran pertamanya.
Beberapa jam sebelum laporan larangan wawancara itu, badan antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) mengeluarkan Indeks Kebebasan Media (FPI) 2014, yang menunjukkan Malaysia jatuh pada kedudukan 147.
Kedudukan itu lebih rendah berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara lain, seperti Thailand (130) dan Indonesia (144).
Ia adalah kedudukan terendah Malaysia sepanjang 12 tahun FPI diadakan. Lebih memalukan, negara ketinggalan kepada Myanmar (145) yang sering dikatakan memiliki tahap demokrasi terburuk dunia
Kedudukan Malaysia boleh dikatakan baik pada tahun-tahun awal laporan itu dikeluarkan, dengan mendapat tempat ke 110 pada 2002, 104 (2003) dan dan 92 (2006).
Namun, sejak akhir-akhir ini terutama di bawah pemerintahan Najib, kedudukan negara terus merudum dengan tempat ke 141 pada 2010, 145 (2013) dan 147 (2014).
Wawancara BFM bersama Ketua Pembangkang tersebut berhubung topik hangat Langkah Kajang masih boleh mengikutinya melalui laman web rasmi BFM (www.bfm.my) -Roketkini.com