Berita

Ketua Pembangkang DUN PP sekadar cari publisiti – Guan Eng

GEORGE TOWN, 18 MAC: Tindakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid memfailkan saman terhadap Lim Guan Eng atas tuduhan fitnah kerana memanggilnya ‘nenek rasis’ dilihat sekadar usaha mencari publisiti.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekadar tersenyum dan berkata ‘Kita jumpa di mahkamah’.

“Ketua pembangkang itu nak cari publisiti dan beliau sudah mencapai matlamatnya” kata Guan Eng kepada pemberita selepas majlis tandatangan MoU antara Aceh dan Pulau Pinang.

“Bila kita saman, kita biasanya tak umum. Kita saman saja,” tambah beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Menurut laporan The Malaysian Insider, Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar selama lima penggal itu berkata, beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang setelah Guan Eng gagal meminta maaf.

“Ia memudaratkan imej dan kredibiliti saya sebagai seorang wakil rakyat. Ia juga merosakkan hubungan saya dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Kerana ini saya mesti menuntut keadilan. Saya tidak mempunyai pilihan mengambil tindakan guaman untuk memulihkan reputasi,” katanya.

Pertelingkahan antara Jahara dan Guan Eng bermula Disember tahun lalu apabila keduanya berbahas lantang pada sidang DUN mengenai isu perobohan gerai haram dan tuduhan bahawa Pulau Jerejak mahu ditukar nama menjadi Pulau Mazhu (Dewi Laut).

Guan Eng telah memohon maaf kerana memanggil Jahara seorang ‘nenek’, namun tetap bertegas dengan kenyataan bahawa ADUN UMNO itu seorang rasis. – Roketkini.com