Berita

Zahid Hamidi tidak layak jadi menteri kerana enggan jawab soalan Teresa Kok di Parlimen

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana enggan menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat berhubung ancaman menamparnya oleh sekumpulan NGO.

Beliau berkata, tindakan Zahid itu bukan saja tidak menghormati dewan, malah menghina Parlimen.

“Kelakuan Zahid yang enggan menjawab pertanyaan saya sama sekali tidak boleh diterima dan sangat dikesali.

“Jika dia rasa tidak mampu mempertahankan dakwaannya bahawa tawaran menampar itu bukan satu ancaman, mengapa tidak menarik balik dan memohon maaf?

“Saya kira, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memikirkan secara serius samada Zahid masih layak untuk terus menjadi menteri dengan perlakuan sedemikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu dalam perbahasan Titah Ucapan Dirajanya mengkritik kenyataan Zahid berhubung klip video satira ‘Onederful Malaysia’.

Beliau juga menyifatkan Zahid sebagai tidak bertanggungjawab apabila mendakwa tawaran menamparnya oleh sekumpulan NGO sebagai bukan satu ancaman.

Menurutnya, seperti dilaporkan secara meluas oleh media, Zahid juga dipetik sebagai berkata ‘jika mereka mengeluarkan ugutan bunuh, maka baru ia akan menjadi satu ancaman’.

“Dalam sesi perbahasan semalam, Zahid hadir untuk menjawab soalan yang membabitkan kementeriannya (KDN).

“Namun, beliau memilih untuk tidak menjawab isu yang saya bangkitkan dan tidak memandang langsung ke arah saya.

“Apa gunanya mesyuarat Parlimen jika menteri boleh memilih untuk tidak memjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen ketika perbahasan?,” kesalnya. -Roketkini.com