KUALA LUMPUR, 31 DIS: Selepas tiga hari selepas pulang ke tanahair, apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi arahan untuk memastikan menteri tidak memonopoli penggunaan aset seperti helikopter dan meminggirkan mangsa banjir yang perlu diberi keutamaan.
Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merujuk insiden dua orang ibu dengan komplikasi semasa bersalin di klinik kesihatan Badang, Kelantan diketepikan untuk memberi laluan kepada VVIP.
“Inilah sebabnya saya menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat bencana banjir serta kesiapsiagaan pengurusan,” kata dalam satu kenyataan.
Majlis Keselematan Negara (MKN) seolah-olah tidak mengaku arahan tidak jelas, selain kecelaruan komunikasi apabila Perdana Menteri mengakui banjir kali ini adalah bencana besar hanya pada hari keempat selepas pulang dari Hawaii.
“Najib mengarahkan menteri yang sedang bercuti di luar negara untuk kembali ke tanah air untuk membantu usaha-usaha pertolongan banjir.
“Tiga hari sudah berlalu. Adakah semua menteri telah pulang daripada bercuti di luar negara untuk menyertai operasi bantuan banjir.
“Siapakah menteri yang masih bercuti di luar negara?
“Ini tidak memperbaiki keyakinan orang ramai terhadap kecekapan dan profesionalisme MKN sebagai badan utama yang bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana banjir di negara ini,” katanya..
Dalam pada itu katanya, DAP dan Pakatan Rakyat bersedia mengenepikan perbezaan politik dan sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk membantu mangsa banjir.
Namun, sangat dikesali apabila Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong dan Adun DAP Mengkibol Tan Hong Pin dihalang pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung daripada memberikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.
“Rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India dan orang Asli mesti saling membantu dalam krisis kemanusiaan, disaat negara berhadapan bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
“Bencana banjir terburuk dalam masa beberapa dekad ini adalah masa untuk bersatu padu sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan garis politik demi membantu mereka yang memerlukan.
“Bukannya menyebarkan penipuan untuk membangkitkan kebencian dan sikap tidak toleran antara kaum dan agama,” tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu. – Roketkini.com