Berita, Budaya

Festival IDEARAYA 2015 julang isu-isu terpinggir ASEAN

SHAH ALAM, 05 SEPT – Sekumpulan komuniti bergabung menganjurkan Festival IDEARAYA 2015 (IDEARAYA) yang akan diadakan di Laman Budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 12 dan 13 September 2015.

Antara komuniti yang terlibat adalah Buku Jalanan, Frinjan, Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), The Sponsorship Movement (TSM), Kuliah Buku (KuBu), Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) dan Kelab Filem Bangsar.

Festival itu merupakan acara yang meraikan budaya dan disiplin ilmu di kalangan penggerak kebudayaan, pengkarya seni, ahli sastera, cendekiawan serta kolektif dan aktivis akar umbi peringkat Asia Tenggara.

Koordinator Festival IDEARAYA, Zikri Rahman berkata, para pengunjung berpeluang terlibat dalam merayakan idea melalui medium forum, syarahan, tayangan, diskusi, bengkel, persembahan serta pameran seni yang akan berlangsung selama dua hari festival.

Ujarnya, para pengunjung juga bukan sahaja dapat melibatkan diri dalam tujuh buah siri forum ilmiah serta tayangan filem serata Asia Tenggara malahan boleh melibatkan diri dengan pelbagai tarikan yang lain seperti bengkel kewartawanan, puisi, falsafah kanak-kanak dan bengkel membuat alat musik antara lainnya.

Pameran seni berjudul “Diaspora” oleh tiga karyawan muda serta pameran fotografi “Spora” akan turut menarik perhatian para pengunjung dalam meraikan seni sebagai tunjang utama Festival Idearaya.

Antara tema yang cuba diketengahkan Festival Idearaya ialah isu hak asasi, sejarah, falsafah, budaya serta ekonomi dan ekologi di Asia Tenggara dalam membuka medan cetusan idea dan daya menggerakkan serta mensasarkan masyarakat akar umbi untuk proses pemberdayaan yang berterusan.

IDEARAYA adalah sebuah festival terbuka dan percuma untuk semua yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta didanai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pembangunan Generasi Muda & Sukan,Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi & Inovasi Selangor

Zikri berkata setakat ini, Festival IDEARAYA masih menerima penyertaan bagi ruang bazar yang akan berkolaborasi bersama Pasar Boco dengan sasaran seramai 2,500 pengunjung nanti.

Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapatkan di laman web www.idearaya.com. – Roketkini