Berita

Isu elektrik Pensiangan: PBRS sekadar buat gimik politik menjelang pilihan raya

PENSIANGAN, 8 MAC: Kontroversi isu bekalan elektrik di Parlimen Pensiangan menjadi tumpuan sejak dibangkitkan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt dalam parlimen sesi lalu apabila turun padang meninjau ke salah sebuah kawasan yang terjejas.

Isu ini tular apabila Pengerusi DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang pada Disember 2016 memuatnaik gambar sebuah projek pencawang elektrik di Kampung Melosok, Mukim Dalit yang tergendala sejak tahun 2007 iaitu sebelum PRU Ke-12.

Adrian Lasimbang, Pengerusi DAP Pensiangan

“Masih banyak rumah penduduk kampung meter elektrik pun tak ada,” katanya kepada Roketkini.

Isu ‘tiang ada, elektrik tiada’ ini bagaimanapun segera dinafikan ahli parlimennya Tan Sri Joseph Kurup yang tidak dapat menolak hakikat bahawa penduduk di kawasan yang diwakilinya mengalami masalah bekalan elektrik.

Ahli Parlimen BN itu juga pada 2 Mac lalu mengadakan sebuah ‘gimik’ pelancaran bekalan elektrik di Kampung Kahaba, Mukim Dalit.

Persoalannya, adakah masalah elektrik di kawasan yang diwakilinya telah selesai?

Menurut Setiausaha Kerja DAP Pensiangan, Bodrick Paunus yang turun padang meninjau situasi sebenar, pelancaran bekalan elektrik oleh Joseph Kurup itu sekadar gimik politik menjelang pilihanraya kerana masih banyak kampung belum menerima bekalan elektrik.

“Hanya di Kampung Kahaba dan Kampung Dalit Gana yang menerima bekalan letrik setakat ini.

Brodrick Paunus, Setiausaha Kerja DAP Pensiangan

“Selepas tinjauan dibuat, Kampung Nantabakan, Kampung Tataluan, Kampung Bulinin, Kampung Inandung, Kampung Kelampun, Kampung Dalit Laut, Kampung Dalit Stesen dan Kampung Molosok belum menerima bekalan letrik selepas dilancarkan oleh Kurup.

“Adakah projek yang belum siap sepenuhnya boleh dirasmikan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurut Bodrick, beberapa penduduk Kampung Kelampun dan Kampung Nantabakan yang ditemui memberitahu bahawa tiang sudah ada sebelum PRU-13 lagi, namun baru sekarang pihak terbabit muncul lagi memandangkan pilihan raya hampir tiba.

“Kita dapat melihat bahawa kepimpinan yang diterajui oleh PBRS di Parlimen Pensiangan ternyata lambat dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

“Sepatutnya penduduk kampung sudah mendapat belakan letrik ini lebih awal kerana sudah lebih 30 tahun mereka diberi peluang berkhidmat untuk rakyat di Pensiangan,” ujarnya.

Kebanyakan penduduk di Mukim Dalit yang ditemui dedah Bodrick sudah bosan dengan janji-janji yang ditabur.

“DAP Pensiangan mendesak agar belakan letrik ini diselengarakan dengan segera, tulus dan berintegriti. Kita mahu memastikan bahawa peruntukan RM55 juta yang diumumkan sebelum ini benar-benar dilaksanakan kepada rakyat di Pensiangan. –Roketkini.com

Berikut disertakan pautan isu berkaitan yang pernah disiarkan dalam Roketkini:

  1.  https://www.roketkini.com/2016/12/21/janji-elektrik-bn-kepada-penduduk-luar-bandar-hanya-untuk-pancing-undi/ 
  2. https://www.roketkini.com/2016/12/27/tiang-ada-elektrik-tiada-joseph-kurup-diminta-usah-berdalih-selindung-kegagalan-bn-bekal-elektrik-di-pedalaman/