Rencana

Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya – Bahagian IV

1973-1994: Era Mahathir

Perlembagaan telah dipinda lagi sebanyak 11 kali di antara tahun 1973 dan 1985, termasuk beberapa perubahan kepada pemberian geran kepada negeri-negeri, mewujudkan Wilayah Persekutuan Labuan, memperketatkan lagi undang-undang pilihan raya yang memberikan lebih kuasa bersifat budi bicara kepada kerajaan, serta pengenalan ringgit sebagai mata wang negara.

Antara perubahan penting hasil daripada pemindaan yang dibuat pada tahun 1983 dan 1984 berkenaan peranan pemerintah dalam soal perundangan. Pada tahun 1981, Mahathir Mohamad telah dilantik menjadi Perdana Menteri, jawatan yang dipegang selama 22 tahun.

Seorang yang tidak pernah segan dalam mencabar tradisi dan pernah mengarang surat terbuka kepada Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1969 yang menyalahkan Tunku ke atas tragedi 13 Mei, Mahathir memulakan beberapa konfrontasi dengan kesultanan Melayu pada tahun 1983.

Sebelum ini, raja-raja menikmati kekebalan undang-undang, satu peruntukan undang-undang yang kerap kali disalah guna. Pada awal 1980-an, kelakuan raja-raja mula dipersoalkan dengan hangat di wacana umum, terutama sekali mengenai kemewahan, kesalahan kewangan, pembaziran dana awam, penglibatan dalam perniagaan dan campur tangan dalam isu politik. Sebagai seorang yang tidak menyokong feudalisme dan didorong oleh kemungkinan kenaikan seorang Agong yang cenderung campur tangan, Mahathir mengambil keputusan untuk mengawal keadaan terdahulu dengan memperkenalkan Perlembagaan (Pindaan) Perkara 1983.

Antara 43 artikel yang dipinda adalah fasal-fasal berkenaan dengan perkenan diraja. Kesan pemindaan telah menjadikan perkenan diraja untuk usul yang diluluskan oleh Parlimen sesuatu yang wajib diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Peraturan ini turut terpakai ke atas undang-undang negeri. Sebagai tambahan, Mahathir juga mengusulkan untuk memindahkan kuasa pengisytiharan darurat daripada Agong kepada Perdana Menteri. Meskipun pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut menemu jalan buntu apabila raja-raja telah berbincang antara sesama membuat keputusan untuk menolak usul tersebut.

Konflik berlanjutan dengan Mahathir terus menyerang berhabis-habisan. Beliau menggerakkan jentera parti dan mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara.Pihak media juga menyebelahi beliau dengan menerangkan keperluan pindaan tersebut. Sebagai tindak balas, pihak raja-raja turut mengadakan himpunan dengan sokongan pemimpin-pemimpin veteran Umno.

Akhirnya, satu kompromi berjaya dicapai. Hak untuk mengisytiharkan darurat kekal sebagai kuasa Agong dan pemerintah mendapat kembali hak untuk tidak memberi perkenan diraja kepada undang-undang negeri. Bagi undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen, Agong berkuasa untuk menolak usul dan menghantarnya kembali ke badan perundangan. Sekiranya usul tersebut diluluskan sekali lagi, secara automatik ia akan berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas 30 hari, dengan atau tanpa perkenan diraja. Pengecualian hanya terpakai ke atas usul-usul kewangan yang tidak boleh ditolak sama sekali.

Pindaan besar perlembagaan seterusnya berlaku pada tahun 1988 dalam keadaan bersejarah. Setahun sebelum itu, Mahathir menang tipis dalam pilihan parti, dan UMNO berpecah kepada dua puak. Puak yang kalah mengambil tindakan undang-undang dan pada Februari 1988, mahkamah memutuskan bahawa UMNO adalah sebuah persatuan yang haram ekoran beberapa masalah dengan cawangan-cawangannya. Dengan pengharaman UMNO serta beberapa keputusan mahkamah yang tidak disukai, Mahathir bertindak mengehadkan kuasa badan kehakiman.

Artikel 121 merupakan target khusus dalam pemindaan perlembagaan pada tahun 1988. Artikel 121 pada asalnya memberikan kuasa kehakiman kepada mahkamah. Pemindaan artikel tersebut telah mengikat dan meletakkan badan kehakiman di bawah undang-undang persekutuan. Pindaan lain termasuklah pengguguran kuasa lazim Mahkamah Tinggi untuk membuat penyemakan kehakiman, kuasa Peguam Negara untuk menentukan mahkamah bicara bagi kes. Pengenalan Artikel 121(1A) amat penting kerana menggariskan pemisahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil, dan juga menaikkan status mahkamah syariah menjadi setaraf dengan mahkamah sivil. Terjadinya sebuah sistem kehakiman yang menyebabkan timbulnya banyak kerumitan, terutamanya dalam kes yang melibatkan Muslim dan non-Muslim.

Sebagai tindak balas kepada perubahan yang diperkenalkan dengan tergesa-gesa oleh kerajaan, Ketua Hakim Negara pada masa itu, Salleh Abas, telah mempengerusikan satu mesyuarat para hakim. Sepucuk surat yang tidak ditandatangani diluluskan oleh mesyuarat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan kekesalan ke atas tindakan Perdana Menteri yang menggugat kebebasan badan kehakiman.

Namun, kerana pindaan yang dibuat pada tahun 1960, Mahathir dapat memulakan tindakan disiplin terhadap Ketua Hakim Negara, yang berakhir dengan pemecatan Salleh Abas dengan dua lagi hakim Mahkamah Agung. Peristiwa ini dikenali sebagai satu babak hitam dalam sejarah kehakiman Malaysia. Pada tahun 2008, kerajaan telah membayar pampasan kepada hakim-hakim yang dipecat. Pada tahun 2017 pulak, Mahkamah Persekutuan (sebelum ini Mahkamah Agung) memutuskan bahawa pindaan 1998 yang meletakkan badan kehakiman di bawah bidang kuasa Parlimen adalah melanggar perlembagaan, meskipun tidak membatalkan pindaan tersebut.

Pertembungan kedua Mahathir dan Raja-Raja berlaku pada tahun 1993. Tidak terkesan dengan peristiwa sebelum ini, sebilangan pemerintah terus berkelakuan tidak baik dengan masuk campur dalam politik negara, tidak mematuhi undang-undang percukaian, malah terlibat dalam aktiviti jenayah. Berikutan satu usul oleh Parlimen yang menegur Sultan Johor yang telah menyerang seorang jurulatih hoki, Perlembagaan telah dipinda untuk memansuhkan kekebalan pemerintah daripada pendakwaan. Satu mahkamah istimewa telah ditubuhkan bagi membicarakan raja-raja.

Pada tahun 1994, Mahathir telah meminda lagi Perlembagaan, termasuk memansuhkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melengahkan rang undang-undang dengan mengembalikannya ke Parlimen. Cuma kali ini, pindaan yang sama telah dipanjangkan untuk undang-undang negeri, sekali gus menyingkirkan kuasa Raja Melayu sebagai mekanisme semak dan imbang.

Pada masa yang sama, pengaruh badan kehakiman dilucutkan dengan perubahan simbolik seperti penamaan semula Lord President kepada Chief Justice, dan Supreme Court sebagai Federal Court, serta pengenalan kod etika untuk para hakim.

Perlembagaan telah dipinda lagi sebanyak 16 kali dan berakhir pada tahun 2009. Kebanyakan perubahan dalam tempoh ini adalah kecil dan bersifat pentadbiran, kecuali kewujudan Wilayah Persekutuan yang ketiga pada tahun 2001 ibu pejabat pentadbiran persekutuan yang baru iaitu Putrajaya.

Ke Mana Perginya Kita?

Berbeza dengan Amerika Syarikat yang melakukan 27 pindaan perlembagaan, dari Bill of Rights diubah kepada pemansuhan perhambaan kemudian dipinda lagi memberi hak mengundi sejagat bagi setiap orang dewasa menunjukkan naratif perjalanan sebuah negara membina masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan beremansipasi, kisah Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula menunjukkan sebuah negara menuju arah bertentangan- ke arah lebih eksklusif, terkebelakang dan menekan.

Pindaan penting yang telah dibuat sepanjang 60 tahun ini telah mengubah nilai dan semangat asal Perlembagaan Reid tahun 1957 dengan menumpukan kuasa berpihak pada badan eksekutif, meruntuhkan pelbagai benteng perlembagaan berkenaan kebebasan asas dan pengunaan kuasa darurat, merombak sistem pilihan raya bagi memastikan pengekalan kerajaan sekarang dan menekan kuasa pihak lawan, termasuk institusi seperti sistem beraja Melayu dan badan kehakiman.

Kesannya, Perlembagaan kini tidak lagi membawa semangat dan hasrat asal pengasas negara. Ini mungkin refleksi yang saksama ke atas politik Malaysia kini. Meskipun parti sama yang memerintah sejak kemerdekaan terus berkuasa, ramai yang akan sependapat bahawa kepimpinan sekarang tidak lagi berpegang kepada impian dan prinsip sama perintis parti.

Jelas, pembaikan Malaysia memerlukan pembaikan undang-undangnya. Jika negara kita ingin menjadi sebuah negara inklusif dan progresif di abad ke- 21 ini, maka usaha politik untuk menggubal undang-undang yang lebih inklusif, terbuka dan adil harus dilaksanakan. – Roketkini.com

Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya – Bahagian I
Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya – Bahagian II
Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya – Bahagian III