Rencana

Orang Langkawi berhati-hati dengan janji

Terima kasih Tun Dr Mahathir Mohamad, syabas orang Langkawi tapi maaflah orang Kedah yang lain.

Semata-mata kerana ura-ura Dr Mahathir akan bertanding di Langkawi, Perdana Menteri Najib Abdul Razak, dengan murah hati janji (saya ulang, JANJI) peruntukan RM1,300,000,000 (RM1.3 bilion).

Begitulah “power”nya Dr Mahathir. Cakap saja kata dia nak bertanding di Langkawi, terus peruntukan berbilion dijanjikan.

Kata tak takut. Kata Dr Mahathir orang tua nyanyuk. Kata dia Mahathir Kutty. Kata dia tunduk kepada DAP. Kata parti dia parti serpihan.

Tapi cakap saja dia nak bertanding di Langkawi, Najib pun melawat tak berhenti-henti dan buat macam-macam janji.

Tapi orang Langkawi baik berhati-hati. Janji Najib ini banyak jenis wal hasil balik asal itu pasal tak hasil. Jenis kulit tebal tapi isi nipis.

Kalau tak percaya, kaji baliklah janji pilihan raya umum 2013. Dia janji nak bagi itu dan ini. Nak turunkan harga kereta dan macam-macam lagi. Tapi harga tak turun. Naik ada. Yang jatuh merudum adalah taraf hidup rakyat jelata.

Janji dimungkiri

Tak sampai dua tahun lepas menang tipis, Najib dengan tidak fikir panjang laksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seolah-olah mahu hukum rakyat jelata yang tak bagi dia kemenangan dua pertiga.

Kita tahu GST adalah cukai yang Perdana Menteri sebelum Najib tolak tapi Najib dengan bangganya nobatkan sebagai penyelamat negara.

Sepatutnya bila menang kecil, Najib fikirlah cara ambil hati rakyat jelata supaya mereka kembali sokong Barisan Nasional (BN). Sebaliknya dia hukum rakyat jelata, termasuk yang sokong BN, dengan bebankan GST ke atas mereka.

Tapi Najib tak peduli semua itu. Bagi dia, janji boleh dimungkiri. Macam-macam alasan boleh dibagi. Dia kata rakyat didahulukan. Tapi keluh kesah rakyat jelata tidak dipedulikan.

Yang dia dengar adalah cakap para penasihat dan perunding dalam dan luar negara yang kiblatnya kapitalisme dan syahadahnya pasaran terbuka.

Jadi apabila harga minyak mentah jatuh dan hutang negara naik mencanak, jawapan mudahnya adalah mencukai rakyat jelata.

Maka GST pun dimanterakan sebagai cukai paling adil dan paling saksama. Kali ini Najib tak bohong. GST tidak pilih mangsa. Orang kaya, orang senang, orang papa kedana, orang buta, pengemis dan orang yang dapat zakat semuanya kena GST.

Najib kata enam peratus saja. Negara lain lagi tinggi. Tapi dia tak cakap pula pasal kenaikan harga berganda kerana GST dikenakan di setiap peringkat pemprosesan dan pertukaran tangan.

Awas orang Langkawi

Jadi rakyat Langkawi kena berhati-hati. Manalah tahu, bukan mereka yang Najib sayangi tapi Dr Mahathir yang dia benci dan takuti.

Siapa yang majukan Langkawi kalau bukan Dr Mahathir? Dan tempat manakah yang menjadi tapak berpijak terawal bagi Dr Mahathir kalau bukan Langkawi? Dia doktor kerajaan terawal di pulau Mahsuri.

Najib hanya peduli Langkawi apabila ia sudah maju dan rakan sekutunya macam Peter Sondakh mula bertapak dengan projek raksasa berbilion ringgit.

Bagi orang Kedah yang lain, maaflah. Pertanian dan luar bandar bukan keutamaan Najib. Luar bandar dan rancangan Felda hanya berguna waktu pilihan raya.

Dalam pertemuan terakhir dengan Najib banyak tahun lalu, saya tanya apa sumbangan dia kepada orang luar bandar menggunakan duit yang dijimatkan daripada pemotongan subsidi minyak?

Saya kata, dia belanja berpuluh bilion bina MRT di Lembah Klang. Pasal apa tak belanja sikit untuk naikkan taraf projek pertanian macam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) supaya setaraf dengan Sekinchan?

Dia kata “too expensive” (terlalu mahal). Saya tanya berapa? Dia kata RM2.3 bilion. Saya baca berita kata, MRT sudah telan belanja lebih RM32 bilion.

Itu belum kira projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) konsesi China (RM55 bilion), kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan berharga RM70 bilion, pelabuhan China Kuantan, pelabuhan China Melaka dan macam-macam lagi projek urbanisasi.

Jadi janji RM1.3 bilion kepada orang Langkawi ini hanyalah tahi gigi. Najib peduli apa. Yang nak bayar balik hutang negara bukan dia tapi kita dan anak cucu kita. Tahun ini bayar bunga hutang saja RM31 bilion.

Sejak dia jadi Perdana Menteri pada tahun 2009 hutang negara naik 10 peratus setiap tahun. Kalau tak disekat, pada tahun 2021 hutang negara akan cecah RM1 trilion (RM1,000,000,000,000).

Apa kesan semua ini kepada rakyat jelata? Kita dibebankan dengan GST, nilai ringgit kita merudum, harga barang pengguna naik mencanak, biasiswa dipotong, hutang pendidikan tinggi dikurangkan, kerja tak ada, lulusan universiti jual nasi lemak dan bawa kereta sewa, hatta ubat di hospital pun dicatu.

Inilah hasil “17 Aku janji BN kepada rakyat” pada PRU 2013. Aku janji bertukar jadi janji dimungkiri. Jadi orang Langkawi dan rakyat jelata di seluruh negara berjaga-jaga dan berhati-hati.

Najib akan janji bulan, bintang dan matahari asalkan dia terselamat daripada sebuah mimpi yang amat ngeri.

Wallahuaklam.

*Tulisan ini kali pertama disiarkan di http://kadirjasin.blogspot.my

*Datuk A Kadir Jasin adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan merupakan wartawan veteran.