Berita

Sindiket MyKad pengkhianat negara

Penjualan Kad Pengenalan (MyKad) kepada warga asing adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan merampas hak individu yang benar-benar layak untuk mendapatkan kewarganegaraan tetapi sekian lama dinafikan hak tersebut.

Justeru itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee menggesa agar pihak yang terlibat dengan sindiket penjualan MyKad kepada warga asing dikenakan hukuman yang keras mengikut lunas undang-undang. 

“Kewarganegaraan adalah satu bentuk hak dan keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan melalui kelahiran atau kepada mereka yang sudah membuktikan bahawa mereka layak setelah mengikut proses yang sah.

“Menggugat prosedur ini melalui jalan belakang dengan suapan wang ringgit adalah tindakan pecah amanah terhadap warga Malaysia dan jentera awam yang telah berusaha keras ke arah pembentukan ketatarakyatan yang jitu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih buruk lagi, katanya, individu yang benar-benar berhak dan layak diberikan kewarganegaraan pula ditolak permohonan mereka dan terpaksa memegang status tidak bernegara (stateless) selama bertahun-tahun.

“Perkara yang berlaku ini amat menghina denyut nadi penderitaan mereka (individu tidak bernegara),” ujarnya sambil menggesa agar Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan “tuntas dan pantas” bagi menyelesaikan isu individu tidak bernegara.

(Berita berkaitan: Isu sindiket MyKad: Zahid Hamidi wajar disiasat)

Pada 12 September lalu, enam individu didakwa di Mahkamah Sesyen di George Town atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad secara tidak sah kepada warga asing.

Antara yang ditahan adalah Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, yang menghadapi dua pertuduhan utama iaitu di bawah Seksyen 26 E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Sementara itu, turut didakwa membabitkan kes sama adalah Datuk Lai Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 44 dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, yang kesemuanya warga tempatan. 

Howard yang juga Adun Pasir Pinji dalam pada itu membidas pihak yang ‘menangguk di air keruh’ dalam isu berkenaan dengan menuduh DAP sebagai dalang. 

“Pada masa yang sama, amatlah musykil satu dakwaan tak munasabah bahawa DAP kononnya mahu membawa kaum Cina dari negara China dengan menjual MyKad. 

“Jika fitnah ini benar, tak perlulah DAP meminta Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membangkitkan isu tidak bernegara dan kad pengenalan merah, sebaliknya hanya terus berdiam dan teruskan jual MyKad sahaja,” tegasnya. – Roketkini.com