Rencana

Membela mereka yang miskin adalah akhlak Nabi Muhammad

Oleh Nor Miswary Ramli

Baru-baru ini saya pulang ke kampung selepas kebenaran merentas negeri diberikan. 

Niat utama ialah saya mahu menziarah kedua-dua ibu bapa selepas sekian lama tidak bertemu mata dengan mereka akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19. 

Saya turut mengambil kesempatan mengunjungi beberapa buah rumah di beberapa buah kampung di daerah Padang Terap sebagai usaha kecil saya menyokong kerja- kerja komuniti yang dilakukan rakan-rakan di sana. 

Mereka gigih bekerja dengan kudrat dan sumber yang tidaklah seberapa. 

Berbekalkan semangat dan kemahuan untuk membantu, mereka giat memberikan bantuan melangkaui bangsa, agama dan faham politik.

Melihatkan kemiskinan yang membelenggu beberapa keluarga yang saya ziarahi dan keadaan rumah mereka yang terlalu daif, terabai dan hampir sahaja tidak selamat untuk diduduki, sukar saya membayangkan apa perasaan pemimpin yang nyenyak tidur di rumah mereka yang mewah dan selesa.

Kalau pun pemimpin yang ada tidak memiliki rumah besar mewah yang selesa, namun membiarkan keluarga ini terus hidup seharian dengan keadaan rumah yang sangat uzur seperti ketika saya kunjungi, saya tidak mampu berdiri di depan Tuhan menuntut dan mempertimbang dosa pahala saya sebagai pemimpin atas dunia. 

Malah semasa berkunjung menziarahi warga tua yang menderita sakit dan melihat kepada keuzuran mereka, meruntun hati saya.

Nabi Muhamad SAW adalah insan yang paling dekat dengan kedua-dua isu ini – kemiskinan rakyat dan kebajikan orang tua. Kasih Baginda kepada golongan ini sewajarnya menjadi panduan bagaimana pemimpin hari ini perlu mengurus seputar kedua-dua isu ini. 

Saya mahu meneladani akhlak Baginda dalam menyantuni golongan ini.

Risalah yang dibawa Baginda mendidik hati membentuk akhlak yang terpuji sehingga melahirkan begitu ramai pemimpin yang benar-benar memahami dan sentiasa berusaha menangani kesusahan rakyat, baik sebagai pemimpin negara ataupun sekadar pemimpin kecil.

Malang bagi kita, selepas lebih 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, masih ada keluarga yang tinggal dan membina kehidupan dalam sebuah rumah yang daif seperti itu. 

Tambah malang, pemimpin yang dipilih seolah-olah memadai tanggungjawab mereka setakat datang berkunjung, menabur janji dan kemudian hilang sehingga pilihan raya yang akan datang. 

Namun, menyalahkan mereka yang memilih pemimpin seperti ini pun tidak betul juga.

Di kawasan seperti daerah Padang Terap di mana akses kepada infrastruktur, capaian internet dan maklumat menjadi sangat terhad, hanya kad bangsa dan agama sahajalah yang mampu memenangkan pemimpin-pemimpin jenis ini.

Pemimpin seperti ini tidak peduli akan kesusahan yang dihadapi sehari-hari oleh rakyat yang pernah menjadi pengundi mereka. 

Akhirnya pemimpin ini hanya pandai memasarkan diri sebagai watak pembela agama jadi-jadian namun tidak pula bijak mengusahakan sumber elektrik atau bekalan air ke rumah orang kampung yang telah pun memilih mereka. 

Melihatkan bumbung bocor dan berlubang di sana-sini, dinding rumah yang menunggu masa untuk roboh dan sumber makanan yang menyedihkan, saya tertanya-tanya; sunnah nabi mana yang mereka ikuti sehingga menjadi pemimpin yang langsung tidak peduli akan kesusahan keluarga yang seperti ini?

Jika berhasrat menjadi pemimpin yang mahu mencontohi akhlak Baginda Rasulullah SAW, mereka mestilah menjadi pembela kepada keluarga miskin seperti yang saya ziarah di daerah Padang Terap tempoh hari. 

Pemimpin ini tidak boleh hanya sekadar berserban, berjanggut dan berkumis nipis atau berkahwin lebih daripada satu. 

Meneladani Nabi Muhamad SAW juga tidak sekadar mengikuti sunnah Baginda dalam amalan bersolat, berpuasa dan membaca Al-Quran sahaja, sedang mencontohi Baginda Rasulullah SAW juga termasuklah dengan memanfatkan kepintaran pentadbiran dan kepimpinan. 

Lihatlah sendiri bagaimana rakyat yang sukar hidup mereka, terpaksa berkais untuk makan dan minum sambil membesarkan anak-anak yang meningkat dewasa lelaki dan perempuan di dalam rumah yang bumbungnya boleh sahaja terbang melayang dibawa ribut dan hujan lebat.

Oleh itu, bersempena Maulidur Rasul 1443H yang diingati hari ini, saya hanya ada satu cita-cita sahaja, iaitu mahu melihat akan adanya pembelaan ke atas orang miskin dan orang-orang tua. 

Nabi Muhamad SAW yang kasihkan kepada golongan ini, turut menunjukan contoh akhlak terpuji dengan sentiasa prihatin dan mengutamakan kebajikan golongan ini. 

Sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW bukan sekadar amalan berpakaian dan penampilan luaran semata-mata. 

Nabi Muhamad SAW yang dirindui meninggalkan kita displin dalam mengerjakan pentadbiran yang adil, bersih dan telus untuk manfaat mereka yang memilih, atau lebih tepat rakyat yang kita wakili. – Roketkini.com